IKIMfm MENANG ANUGERAH KANDUNGAN ISLAMIK DI WHEA 2024

JOHOR BAHRU, 8 Dis (IKIM) – IKIMfm terus membuktikan pengaruhnya sebagai platform media Islam berimpak tinggi apabila merangkul Anugerah Kandungan Islamik  pada World Halal Excellence Awards 2024 (WHEA 2024), menerusi kejayaan rancangan Halal Profesional terbitan Siti Rohani Surani.

Kemenangan IKIMfm melalui Halal Profesional disifatkan sebagai bukti bahawa media Islam memainkan peranan penting dalam memartabatkan wacana halal negara. 

Program yang diterbitkan oleh Siti Rohani Surani itu menjadi sumber rujukan penting kepada masyarakat melalui kupasan bersama pakar, dialog ilmiah dan informasi komprehensif berkaitan halal profesionalisme, ekonomi dan kehidupan seharian.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf sumbangan IKIMfm dalam membangunkan kandungan Islam berkualiti yang memberi impak kepada pendengar di Malaysia dan rantau ini. 

Dengan jumlah pendengar melebihi 1 juta di seluruh Semenanjung Malaysia, serta liputan siaran merentasi Singapura, Indonesia, Brunei dan selatan Thailand, IKIMfm dilihat memainkan peranan besar dalam memperluaskan kefahaman masyarakat mengenai isu halal dan etika pengguna Islam.

Pengiktirafan itu turut mengiktiraf pendekatan strategik IKIMfm yang memanfaatkan kandungan dipacu kecerdasan buatan (AI) dan penstriman digital bagi meningkatkan capaian serta interaksi dengan pendengar. 

Anugerah disampaikan Pemangku Pengerusi HDC, Datuk Azhari Datuk Shaari dalam majlis yang berlangsung di sini malam tadi. 

Datuk Azhari dalam ucapannya menekankan keperluan memperkukuh ekosistem halal yang kini turut merangkumi elemen kelestarian alam sekitar, impak sosial dan tadbir urus baik (ESG) sebagai kriteria penilaian anugerah. Katanya, dunia halal bukan lagi diukur melalui kejayaan komersial semata-mata, tetapi melalui nilai yang membangunkan ekonomi halal: kepercayaan, integriti, kualiti dan kelestarian.

WHEA 2024 mengiktiraf sebanyak 29 organisasi dan tiga individu atas sumbangan mereka kepada industri halal. Sejak diperkenalkan pada 2009, lebih 300 pengiktirafan telah diberikan oleh HDC kepada individu dan organisasi yang membangunkan sektor halal.

WhatsApp
Scroll to Top