SHAH ALAM, 3 Dis (IKIM) – Dua karya terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berjaya meraih pengiktirafan pada Anugerah Buku Negara 2025 bagi Kategori Bahasa dan Penterjemahan : Penterjemahan Buku Terbaik menerusi buku Wahai Anak Muda (Nasihat kepada Penuntut Ilmu) serta Kategori Pendidikan dan Akademik : Buku Perubatan Terbaik menerusi karya Vaksinasi Dari Perspektif Sains dan Islam.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pengiktirafan itu adalah hasil komitmen para penulis serta keseluruhan warga IKIM yang konsisten menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada masyarakat, sekali gus memperkukuh reputasi IKIM sebagai institusi pemikir yang aktif melahirkan karya ilmiah bermutu tinggi.

Mengulas kejayaan itu, Mohamed Azam berkata kemenangan tersebut membuktikan kemampuan warga akademik IKIM untuk bersaing dengan karya terbitan institusi besar, termasuk universiti dalam dan luar negara.
“Bukan mudah untuk menang dalam kategori Sains dan Teknologi menerusi buku Vaksinasi Dari Perspektif Sains dan Islam, tetapi Alhamdulillah, IKIM can make it,” katanya.

Beliau menambah, karya terjemahan seperti Wahai Anak Muda juga berdepan persaingan sengit namun tetap berjaya menyerlah, menjadi bukti ketelitian dan kesungguhan para penyelidik serta pasukan penerbitan IKIM.
Beliau menegaskan bahawa matlamat utama penerbitan IKIM bukan sekadar menghasilkan buku, tetapi memastikan ia dapat dibaca, difahami dan dimanfaatkan oleh masyarakat dalam membina peradaban berasaskan nilai Islam.
“Kita akan terus menerbitkan karya bermutu tinggi hasil penyelidikan mendalam warga IKIM. Insya-Allah, lebih banyak lagi judul akan meraih pengiktirafan pada masa akan datang,” tambah beliau.

Pengiktirafan pada Anugerah Buku Negara ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan IKIM sebagai peneraju ilmu yang mampu menyeimbangkan tradisi keilmuan Islam dengan keperluan semasa masyarakat.
Beliau dalam pada itu merakamkan ucapan tahniah kepada penulis karya Vaksinasi Dari Perspektif Sains dan Islam; Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh; Mohammad Mustaqim Malek; dan Mohd Izzuddin Hasanudin serta karya Wahai Anak Muda (Nasihat kepada Penuntut Ilmu) Terjemahan karya agung Imam al-Ghazali Ayyuhal Walad oleh Dr. Nik Roskiman Abdul Samad.
Sementara itu, Dr. Nik Roskiman ketika ditemui Berita IKIMfm merakamkan penghargaan kepada pengurusan IKIM kerana memberikan persekitaran yang amat baik untuk penghasilan buku-buku ilmiah termasuk dorongan, sokongan serta bantuan kewangan.
“Galakkan ini membolehkan kita menghasilkan lebih banyak buku-buku yang berkualiti untuk masyarakat kita dan hari ini,” kata beliau.
Bagi penulis buku Vaksinasi Dari Perspektif Sains dan Islam, Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh berkongsi karya ini dihasilkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sewaktu COVID-19 dan pastinya waktu itu antara isu yang hangat dikatakan adalah tentang vaksin dan vaksinasi.
“Kami tergerak untuk menghasilkan satu penulisan untuk memberikan penjelasan kepada masyarakat dari perspektif sains dan juga islam berkenaan dengan isu vaksinasi ini. Jadi dalam buku ini kita bawakan perspektif sejarah, juga perspektif daripada sains dan perubatan serta perspektif agama terhadap vaksin dan juga vaksinasi secara berfakta, secara rasional, secara seimbang supaya pembaca insya-Allah akan mendapat manfaat yang sebaik mungkin,” kata beliau.
Majlis yang berlangsung sempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF)di Setia City Convention Centre turut dihadiri Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman; dan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail.




