PUTRAJAYA, 26 Nov (IKIM) – Institusi zakat di seluruh negara terus diperingat agar menguruskan zakat dengan penuh integriti, terancang dan tersusun berpandukan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata sistem pengurusan zakat ini telah terbukti menjadi pasak penting
untuk membangunkan ummah daripada pelbagai aspek sekaligus menyimbang kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi negara.
“Syukur alhamdulillah, institusi zakat secara keseluruhannya menunjukkan prestasi yang membanggakan, namun perlu diingat, amanah yang dipikul ini tidak boleh dipandang ringan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Anugerah Zakat Kebangsaan (AZK) 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Hairolanuar bin Mohamad.
Beliau mengingatkan bahawa kejayaan institusi zakat tidak boleh berlandaskan rasa selesa, apatah lagi selepas berlakunya dakwaan salah guna kuasa dan penyalahgunaan dana zakat yang mencetuskan keresahan masyarakat.
“Walaupun insiden ini terpencil dan tidak mencerminkan keseluruhan institusi, ia tetap memberi kesan kepada kewibawaan Majlis Agama Islam Negeri dan agensi mengurus zakat,” tambah beliau.
Menurut beliau, perkembangan mutakhir ini perlu dijadikan iktibar penting untuk memperkukuh budaya integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan zakat.
“Pengurusan zakat adalah amanah besar. Ia menuntut ketelitian dan pemantauan berterusan agar keyakinan masyarakat terus terpelihara dan utuh,” tambah beliau.

Mohd Na’im menegaskan bahawa agenda penambahbaikan tidak boleh bersifat kosmetik, sebaliknya perlu menyeluruh dengan menutup ruang kelemahan serta memastikan program yang dijalankan benar-benar memberi manfaat optimum kepada ummah.
Beliau pada majlis tersebut turut menyampaikan anugerah kepada penerima AZK 2025 dalam pelbagai kategori antaranya kategori ikon asnaf (akademik) dan ikon asnaf (usahawan).
Majlis anjuran JAWHAR ini dimulakan dengan sesi forum yang menampilkan Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail; Ketua Pegawai Zakat, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Ameer Azeezy tuan Abdullah; dan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datin. Dr. Noor Lizza Mohamed Said.




