KUALA LUMPUR, 25 Nov (IKIM) – Skuad Ihsan MADANI 2025 di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menghimpunkan sukarelawan daripada pelbagai agensi agama persekutuan, dilancarkan hari ini bagi memperkukuh kesiapsiagaan membantu mangsa bencana ketika musim Monsun Timur Laut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata penubuhan skuad itu tepat pada masanya susulan peningkatan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa negeri sejak beberapa hari lalu.

“Selepas ini, skuad ini akan menyusun perancangan dan menetapkan penugasan mengikut negeri yang terjejas. Skuad ini sebenarnya telah diwujudkan sebelum ini, namun bagi tahun 2025 ia disusun semula secara lebih berstruktur,” katanya selepas melancarkan skuad tersebut sempena Himpunan Agensi Hal Ehwal Agama (MAHEA) 2025 di Masjid Wilayah Persekurtuan di sini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Dr Zulkifli Hasan; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Dalam pada itu, Mohd Na’im menggalakkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan kepada Tabung Musa’adah Bencana yang diuruskan JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia bagi membantu mangsa banjir.
“Saya percaya rakyat Malaysia terkenal dengan sifat pemurah. Setiap sumbangan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu mereka yang terjejas,” kata beliau sambil memaklumkan bahawa butiran akaun tabung tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pada majlis sama, Mohd Na’im turut melancarkan buku ‘Islam Mekar Bersama Malaysia MADANI’, yang mendokumentasikan pelaksanaan Transformasi Al-Falah merangkumi program dan pencapaian agensi-agensi hal ehwal agama sepanjang tiga tahun lalu.
Beliau menegaskan bahawa penerbitan itu menjadi bukti bahawa syiar Islam terus diperkasa di bawah kerangka Malaysia MADANI dan menolak persepsi kononnya kedudukan Islam di Malaysia sedang tercabar.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada beberapa agensi yang meraih kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata penghargaan ini diharap menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga agensi untuk terus berkarya dan berinovasi.
“Dengan sokongan berterusan daripada kepimpinan termasuk YB Dr. Zulkifli serta ketua-ketua agensi, saya yakin semangat warga agensi akan terus meningkat untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada tahun 2026 dan tahun-tahun mendatang,” tambah beliau.
Foto: Fathulmungin Mohd Yusof




