LAWATAN PM KE AFRIKA SELATAN PERKUKUH JARINGAN HALAL GLOBAL

PUTRAJAYA, 23 Nov (IKIM) – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Afrika Selatan dari 20 hingga 23 November 2025 dilihat bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, tetapi turut membuka ruang kerjasama strategik baharu dalam memperluas jaringan halal global dan pembangunan ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata lawatan itu, yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin G20 di Johannesburg atas jemputan Presiden Afrika Selatan merangkap Presiden G20 2025, Matamela Cyril Ramaphosa, telah menyediakan platform penting untuk Malaysia memperkukuh peranan sebagai peneraju halal dunia.

Beliau berkata Anwar turut mengadakan sesi libat urus bersama pimpinan Islam di Afrika Selatan, yang menjadi wadah bermakna untuk membincangkan hala tuju serta peluang memperkukuh pembangunan ummah di peringkat global.

Mohd Na’im turut menjelaskan, hubungan Malaysia–Afrika Selatan dalam bidang halal sudah lama terjalin menerusi pengiktirafan tiga badan pensijilan halal negara itu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); National Independent Halaal Trust (NIHT) di Johannesburg; South African National Halaal Authority (SANHA) di Kwazulu Natal; dan Muslim Judicial Council Halaal Trust (MJCHT) di Cape Town. 

“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperluas jaminan halal di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Beliau menegaskan, JAKIM sentiasa komited bekerjasama dengan rakan antarabangsa melalui perkongsian ilmu, pembangunan kapasiti dan peningkatan kemahiran bagi memastikan kelestarian ekosistem halal dunia. Usaha ini juga selari dengan aspirasi negara untuk memantapkan rangkaian halal antarabangsa serta mengukuhkan daya saing industri halal global.

“Saya yakin lawatan kerja ini mampu memperkukuh kerjasama sedia ada, khususnya dalam pengurusan halal, pembangunan kapasiti dan inovasi industri. Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal global, malah menyokong pengukuhan ekosistem halal dunia secara mampan dan inklusif,” tambah beliau. 

WhatsApp
Scroll to Top