KERJASAMA ASEAN-KESATUAN AFRIKA HARUS LEBIH INKLUSIF DAN REALISTIK – PM ANWAR

ADDIS ABABA, 20 Nov (IKIM) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa hubungan ASEAN–Kesatuan Afrika digerakkan ke tahap lebih signifikan dengan membentuk kerjasama tulen yang berakar daripada kepentingan rakyat, bukan sekadar bersifat simbolik.

Berucap pada Forum Belia Afro-Malaysia di Addis Ababa semalam, Anwar menegaskan bahawa kedua-dua rantau memiliki asas kerjasama yang kukuh, namun perlu lebih proaktif merangka mekanisme baharu yang mencerminkan pengalaman bersama dalam aspek ketahanan, pembaharuan dan pemulihan.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan khas di Forum Belia Afro-Malaysia semasa lawatan rasmi YAB PM ke Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia. 20 November 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Beliau turut mengimbas kembali semangat Persidangan Asia-Afrika Bandung tujuh dekad lalu yang meletakkan batu asas kepada Gerakan Berkecuali, semangat yang menurutnya wajar disuntik kembali dalam konteks geopolitik semasa.

“Sudah tiba masanya ASEAN dan Kesatuan Afrika memberi nafas baharu kepada semangat itu, untuk memeterai kerjasama yang benar-benar membawa manfaat bersama bukan sekadar slogan tetapi aspirasi yang boleh direalisasikan,” katanya.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan khas di Forum Belia Afro-Malaysia semasa lawatan rasmi YAB PM ke Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia. 20 November 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Anwar yang mempengerusikan ASEAN tahun ini, turut menekankan keperluan kesatuan negara-negara Selatan Global dalam menghadapi perubahan dinamik kuasa dunia.

“Kita memerlukan kepimpinan yang lebih adil dan mewakili semua  bukan hanya kelompok berkuasa atau kaya. Saya yakin peranan Afrika akan melengkapi usaha ini,” katanya.

Forum bertemakan “Youth Partnership for Shared Prosperity” itu dianjurkan oleh Majlis Belia Ethiopia, Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Malaysia, menghimpunkan 250 peserta. Turut hadir ialah Menteri Wanita dan Hal Ehwal Sosial Ethiopia Ergoge Tesfaye; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa serta Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.

Foto: FB Anwar Ibrahim/FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri

WhatsApp
Scroll to Top