KUALA LUMPUR, 16 Nov (IKIM) – Lebih 2,000 peserta memeriahkan Zakat X Wakaf Run 2025 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bersama Koperasi PPZ Berhad (KoPPZ) bersempena Program Kuala Lumpur Car-Free Morning (KLCFM), di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan, berkata penganjuran acara larian ini signifikan kerana berjaya menggabungkan elemen dakwah, kebajikan, kesihatan dan penyatuan komuniti dalam satu agenda berimpak tinggi demi kelestarian sosioekonomi masyarakat Islam.

“Melalui penyertaan lebih 2,000 peserta merangkumi kategori 3km, 5km dan 7km, Zakat X Wakaf Run 2025 memberi impak positif bukan sahaja dari aspek kesihatan, tetapi juga dalam menyemarakkan kesedaran mengenai zakat, wakaf dan haji,” kata beliau.
Program edisi keempat di bawah penganjuran KoPPZ itu turut diadakan bersempena ulang tahun ke-21 penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), serta sebagai medium penting dalam memperkukuh kehadiran JAWHAR sebagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang berperanan memperkasa ekonomi umat Islam khususnya dalam bidang wakaf, zakat dan haji.

Menurutnya, program tahunan itu bukan sahaja meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan zakat serta potensi wakaf sebagai instrumen ekonomi Islam, malah menyediakan ruang interaksi inklusif antara institusi agama, jabatan kerajaan, syarikat korporat dan masyarakat umum.
Beliau turut menghargai penglibatan Pusat Pungutan Zakat–MAIWP (PPZ-MAIWP) serta rakan strategik lain yang disifatkan mampu memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan sektor korporat dalam membudayakan amal kebajikan serta gaya hidup sihat selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Dr. Zulkifli menambah, walaupun aktiviti larian ini singkat, kesannya besar dan berpanjangan, khususnya dalam menonjolkan komitmen JAWHAR dalam pembangunan masyarakat serta usaha memperkasa agenda zakat, wakaf dan haji di Wilayah Persekutuan dan seluruh negara.

Foto: JAWHAR




