KPMAIWP JULUNG KALI LAHIRKAN GRADUAN ACCA – MOHD NA’IM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (IKIM) – Kolej Profesional Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (KPMAIWP) hari ini melakar sejarah apabila julung kali berjaya melahirkan graduan profesional yang memperoleh akreditasi Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dalam Majlis Konvokesyen ke-18 KPMAIWP. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata seramai tiga orang pelajar telah mendapat ACCA dari KPMAIWP pada konvokesyen kali ini.  

“Seperti sedia maklum, ACCA ini sangat penting untuk menjadikan mereka ini sebagai akauntan yang bertauliah dan diiktraf,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen ke-18 KPMAIWP di sini hari ini. 

Seramai 479 graduan sijil dan diploma daripada pelbagai bidang pengajian telah bergraduasi pada sesi kali ini membuktikan KPMAIWP komited dalam membantu membangunkan ekonomi umat Islam khususnya ana-anak asnaf dengan memperkasakan pelbagai aspek yang menyokong pendidikan mereka. 

Mohd Na’im berkata, sekitar 85 peratus pelajar terdiri daripada anak-anak asnaf dan KPMAIWP mengambil peranan untuk mendidik pelajar ini cemerlang dalam pelabagi bidang di dunia serta berjaya di akhirat. 

“Tidak mustahil, KPMAIWP ini akan keluar sebagai antara kolej profesional yang berjaya di negara kita, yang menjadi contoh melahirkan graduan diploma dan profesional yang bukan sahaja terbaik dan cemerlang daripada sudut akademik mereka, tetapi yang penting mereka ini berjaya menunjukkan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Ini yang kita ingin lahirkan dan menjadikan KPMAIWP ini berbeza daripada kolej-kolej yang lain,” tambah beliau. 

Dalam pada itu, beliau turut menganugerahkan ‘Anugerah Pingat Emas Menteri’ kepada Abdul Aziz Safwan Abdullah, 22, graduan jurusan Diploma Pengurusan Industri Halal yang mendapat tajaan pakej umrah daripada Ikhlas.com Travel Sdn. Bhd. 

Selain Abdul Aziz, seramai 13 graduan lain menerima pelbagai anugerah atas pencapaian dan kecemerlangan mereka sepanjang pengajian di KPMAIWP. 

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pengawai Eksekutif MAIWP, Datuk Nizam Yahya; dan Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, Prof. Madya Dr. Hj. Mohammad Firdaus Low Abdullah. 

WhatsApp
Scroll to Top