SEPANG, 5 Nov (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, menyifatkan kerjasama antara institusi zakat negeri dan sektor swasta sebagai langkah penting dalam memperluas jaringan kebajikan Islam di Malaysia, khususnya melalui program berbentuk ibadah dan pembangunan spiritual asnaf.
Beliau berkata demikian ketika mengulas inisiatif “Umrah 1,000 Asnaf” anjuran Ikhlas.com Travel & Umrah Sdn. Bhd. (Ikhlas.com) dengan kerjasama institusi zakat negeri-negeri yang membantu golongan fakir dan miskin menunaikan ibadah umrah.

“Inisiatif seperti ini bukan sekadar memberi peluang menunaikan ibadah, tetapi turut mencerminkan semangat tanggungjawab sosial bersama antara kerajaan, institusi agama dan pihak swasta,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni bakal jemaah program berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, hari ini.
Beliau berkata kerjasama strategik itu menunjukkan bagaimana zakat dapat dimanfaatkan bukan hanya untuk keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal, tetapi juga bagi memenuhi impian spiritual umat Islam.
Mohd Na’im turut menegaskan bahawa penggunaan teknologi digital dalam pelaksanaan program kebajikan mampu memperkukuh keberkesanan penyaluran bantuan.

“Data asnaf yang disalurkan oleh institusi zakat negeri memainkan peranan penting bagi memastikan bantuan disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak,” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin, berkata kempen Umrah 1,000 Asnaf yang dilancarkan pada Mac lalu menggunakan data asnaf daripada institusi zakat negeri bagi memastikan pemilihan peserta dibuat secara telus dan tepat.
“Melalui sistem data yang tersusun, kita dapat mengenal pasti penerima yang benar-benar memerlukan agar mereka turut berpeluang merasai nikmat menunaikan ibadah di Tanah Suci,” katanya.
Program Umrah 1,000 Asnaf merangkumi penyediaan dokumen perjalanan, vaksinasi, dan kelengkapan umrah lengkap sebelum peserta berlepas ke Mekah, menjadikannya antara model kerjasama kebajikan Islam berasaskan teknologi yang berimpak tinggi.




