BANGI, 4 Nov (IKIM) – Persidangan Pengurusan Harta Keluarga Islam 2025 diyakini mampu melahirkan satu Pelan Tindakan Baharu atau “Blueprint” bagi memperkasa pengurusan harta keluarga Islam di Malaysia, kata Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman.
Beliau berkata, pelan itu dijangka merangkumi cadangan penggubalan Akta Harta Pusaka Islam, pengukuhan Mahkamah Syariah, pembangunan teknologi pengurusan harta Islam (Islamic WealthTech), pelaksanaan wakaf zurri sebagai pelindung harta keluarga, serta perluasan kerjasama antarabangsa.
“Untuk memacu ke arah Sifar Harta Beku, transformasi institusi adalah kunci,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan berkenaan di sini, hari ini.
Beliau berkata langkah pertama ke arah itu ialah penyelarasan undang-undang dan prosedur melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Harta Pusaka yang berkuasa menyelaras dan menyeragamkan proses pengagihan agar waris tidak perlu berurusan dengan banyak agensi.
Tambah beliau, langkah lain antaranya pendigitalan proses faraid (e-Faraid) menerusi pembangunan platform bersepadu yang membolehkan waris memohon, memuat naik dokumen, dan memantau status kes secara dalam talian. Sistem ini turut disokong oleh pangkalan data aset dan waris yang disepadukan bagi mengelakkan manipulasi serta memudahkan pengesahan.

Selain itu, Dr. Mohd Yusof turut menekankan pengukuhan kapasiti agen pelaksana, termasuk pegawai sulh, pentadbir tanah dan pegawai mahkamah melalui latihan komprehensif agar mereka lebih mahir mengurus harta pusaka kompleks serta pertikaian keluarga secara mediasi.
Beliau turut menegaskan bahawa transformasi paling asas bermula daripada individu Muslim itu sendiri melalui peningkatan kesedaran dan literasi perancangan harta semasa hidup.
“Misi Sifar Harta Beku tidak akan berjaya tanpa pendidikan kepada masyarakat untuk merancang harta semasa hidup. Jangan lagi berfikir ‘biarlah anak-anak nanti uruskan’. Kita perlu berfikir bagaimana harta yang Allah amanahkan dapat menjadi warisan barakah, bukan fitnah,” tegas beliau.

Beberapa cadangan dikemukakan beliau antaranya dasar konkrit kepada kerajaan; Program pendidikan masyarakat berterusan; dan Kerjasama antara institusi bagi penyelarasan rekod dan dokumentasi harta umat Islam.
Beliau berkata hanya dengan pendekatan menyeluruh meliputi dasar, undang-undang dan kesedaran awam, impian besar Sifar Harta Beku dapat direalisasikan.
Program dengan sinergi Maybank Islamic Berhad ini turut dihadiri Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Foto: Fathulmungin Mohd Yusof




