PUTRAJAYA, 31 Okt (IKIM) – Jenama Malaysia kini semakin harum di persada antarabangsa dengan pencapaian cemerlang di pentas pelancongan dunia, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan.
Beliau dalam catatan di Facebook hari ini memberi respon terhadap liputan berita berkaitan Malaysia merekodkan 28.2 juta ketibaan pelancong asing antara Januari hingga Ogos tahun ini, menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM186.4 bilion.
Beliau dalam pada itu menyifatkan langkah diplomasi YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
sebagai luar biasa, apabila menampilkan seni dan budaya tempatan seperti dalam majlis rasmi dunia serta simbol diplomasi lembut yang berjaya memikat perhatian tanpa perlu hadiah atau kos besar sebagaimana dilakukan sesetengah negara lain.
“Saya melihat peluang untuk kita menunjukkan keistimewaan dan kelebihan kita khususnya dari aspek subur dan mekarnya Islam di Malaysia,” kata beliau.
Dr. Zulkifli berkata kejayaan ini bukan sahaja menewaskan negara serantau seperti Thailand sebagai destinasi pilihan utama pelancong, malah berjaya menampilkan wajah Islam yang harmoni, subur dan damai di mata dunia.
“Setelah mengembara ke pelbagai negara di seluruh dunia, saya anggap Malaysia adalah negara paling mesra ibadah di dunia. Tempat solat ada di mana-mana hatta di lebuhraya dan pusat beli belah juga ada Surau Jumaat,” tambah beliau.
Katanya, selepas kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN yang menghimpunkan pimpinan dunia di Kuala Lumpur baru-baru ini, nama Malaysia mendapat liputan luar biasa di seluruh dunia sekali gus menjadikan negara ini tumpuan utama pelancong global.








