KUANTAN, 28 Okt (IKIM) – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM) menerajui inisiatif serantau dalam memperkasa sistem penjagaan kesihatan berteraskan prinsip Islam menerusi penganjuran ASEAN Conference on Shariah-Compliant Healthcare 2025 (ASCOCH 2025) yang berlangsung dari 27 hingga 29 Oktober di Kuantan.
Pengerusi program ASCOCH 2025, Dr. Mohamad Shahrir berkata penganjuran ASCOCH 2025 menjadi titik tolak ke arah pembentukan rangka kerja kesihatan patuh Syariah di peringkat serantau.
“ASCOCH 2025 berperanan sebagai platform strategik untuk memperkukuh kolaborasi antara pakar perubatan dan sarjana Islam dalam memperkenalkan model kesihatan yang lebih holistik,” kata beliau.

Beliau dalam pada itu turut berharap hasil daripada persidangan ini akan menyumbang kepada agenda kesihatan mampan dan beretika di seluruh ASEAN.
Persidangan yang disertai 250 peserta terdiri daripada pakar kesihatan, ahli akademik dan pengamal perubatan ini telah dirasmikan oleh Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, yang hadir mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd. Kadir.
Persidangan yang julung kali diadakan ini menjadi platform strategik serantau bagi memperkukuh kefahaman serta pelaksanaan sistem kesihatan patuh Syariah, sejajar dengan aspirasi rantau ini untuk memperkasa agenda kemanusiaan, sosial dan pembangunan mampan.
Persidangan peringkat ASEAN ini menghimpunkan peserta dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Bangladesh, Thailand, Brunei dan Filipina.

Pelbagai topik perbincangan dikupas antaranya melibatkan pendekatan menyeluruh terhadap amalan kesihatan berasaskan nilai-nilai Syariah, di samping meneliti isu-isu kontemporari seperti etika perubatan, inovasi berasaskan Islam dan pengurusan bank susu ibu menurut hukum Syariah.
ASCOCH 2025 merupakan komitmen UIAM dalam membina sistem penjagaan kesihatan yang berlandaskan prinsip moral dan spiritual, sejajar dengan visi universiti tersebut dalam mengharmonikan ilmu wahyu dan ilmu duniawi berasaskan falsafah Epistemologi Tawhid.
Selaras dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan, persidangan ini memperkukuh peranan negara dalam memimpin dialog serantau yang menggabungkan nilai Islam, inovasi dan kemanusiaan sejagat.
Penganjuran ini juga mencerminkan usaha berterusan SASMEC @IIUM dalam membina jaringan strategik antara institusi kesihatan, universiti dan agensi ASEAN bagi memperkasa ekosistem perubatan yang berteraskan ilmu, nilai dan kesejahteraan manusia.
Turut hadir Pengarah SASMEC @IIUM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Saufi Awang.




