PUTRAJAYA, 8 Okt (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Persidangan Serantau Manasik Haji buat julung kalinya, menghimpunkan para peserta dari dalam dan luar negara bagi membincangkan hukum-hakam serta isu semasa berkaitan ibadah haji menjelang musim haji 1447H/2026M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, berkata penganjuran persidangan ini tiba pada masa yang tepat bagi memperkukuh peranan institusi haji serantau dalam memanfaatkan teknologi baharu demi meningkatkan kualiti bimbingan dan pengurusan ibadah haji.
Persidangan ini menjadi bukti komitmen berterusan TH dalam memperkasakan bimbingan haji kepada bakal jemaah, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara pembimbing ibadah haji terbaik dunia.

“Lebih 50 kertas kerja dibentangkan sepanjang persidangan ini. Melalui platform ini, Malaysia berpeluang berkongsi pengalaman dan berpotensi menjadi pusat rujukan manasik haji di rantau ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 di sini hari ini.

Mengulas mengenai operasi Haji 1447H, beliau berkataLembaga Tabung Haji (TH) mengambil langkah proaktif turun padang bagi mengesan bakal jemaah haji musim 1447H/2026M yang masih gagal dihubungi, bagi memastikan kelancaran urusan komunikasi dan tawaran haji tahun hadapan.
Mohd Na’im berkata inisiatif ini penting agar setiap bakal jemaah tidak terlepas maklumat berkaitan persiapan ibadah haji.
Beliau turut mengingatkan bakal jemaah haji supaya mengemas kinimaklumat peribadi melalui platform THiJari atau hadir ke mana-mana pejabat cawangan TH di seluruh negara.
“TH kini dalam proses memuktamadkan kos bayaran haji. Sama ada kekal atau meningkat, ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat. Prinsipnya, kadar itu tidak akan membebankan jemaah,” katanya kepada media.
Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan serta Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.