KUALA LUMPUR, 1 Okt (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 wajar dilihat sebagai peluang diplomasi berimpak tinggi, bukan sekadar isu penerimaan atau penolakan kehadiran.
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendirian itu selari dengan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil bahawa penolakan kunjungan tersebut tidak sejajar dengan Maqasid al-Syariah.
“Dalam kerangka syariah, maslahah yang lebih besar dapat dicapai apabila pintu dialog dibuka dengan akal yang tenang dan hujah yang jelas demi memelihara keamanan (ḥifẓ al-amn) dan menegakkan maruah insani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menekankan, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mempunyai tanggungjawab moral menggunakan kehadiran Presiden Amerika Syarikat dalam sidang berkenaan untuk menyuarakan isu kemanusiaan global, termasuk Palestin, penindasan etnik dan keperluan keadilan sejagat.
Katanya, ruang dialog rasmi membolehkan Malaysia menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk penindasan etnik serta mencadangkan penubuhan mekanisme bersama AS–Malaysia bagi memantau hak asasi di kawasan konflik, di samping menyokong penyiasatan bebas antarabangsa.
“IKIM berpandangan sebarang bentuk kerjasama atau bantuan daripada Amerika Syarikat wajar diikat dengan syarat pematuhan terhadap prinsip hak asasi, larangan menyokong pihak yang menggerakkan perang atau genosid, serta penyertaan dalam usaha pemulihan pasca-konflik,” katanya.
Mohamed Azam berkata inilah peluang untuk Malaysia memperlihatkan kebijaksanaan diplomasi secara halus tetapi berprinsip, beradab tetapi berani, lembut pada bahasa namun tegas pada makna.
“Jika dimanfaatkan dengan baik, Malaysia bukan sahaja memperlihatkan kedaulatan negara di mata dunia, malah berpotensi mengangkat kepimpinan moral ASEAN dalam memperjuangkan suara umat sejagat,” ujarnya.