IKIM TEKANKAN ETIKA ISLAM DALAM PENGGUNAAN KECERDASAN BUATAN

KUALA LUMPUR, 1 Okt (IKIM) – Etika Kecerdasan Buatan (AI) perlu berpaksikan kepada Maqasid Shariah agar  menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta agar membawa manfaat dan menghindarkan mudarat kepada masyarakat.  

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata penggunaan AI yang kini merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk kesihatan, pendidikan, kewangan, keselamatan serta komunikasi seharian perlu dipandu oleh prinsip etika agar tidak membawa kepada ketidakadilan dan penindasan.

“AI perlu dibangunkan, digunakan dan diurus secara bertanggungjawab kerana kecuaian dalam aspek ini boleh mendatangkan kemudaratan, sekali gus menjadikannya tidak beretika,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Etika Kecerdasan Buatan (AI) Menurut Perspektif Islam, di sini hari ini. 

Mohamed Azam berkata AI berasaskan data raya perlu diurus dengan penuh amanah kerana data merupakan satu kepercayaan yang tidak boleh disalah guna untuk tujuan eksploitasi. 

“Prinsip belas ihsan juga harus dipupuk supaya teknologi ini memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan rentan, dan bukannya hanya menguntungkan golongan berkuasa atau kaya,” tambah beliau. 

Seminar dua hari anjuran IKIM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini menghimpunkan pelbagai pakar membincangkan antaranya etika AI dalam pendidikan, peluang serta cabaran AI kepada masyarakat. 

IKIM dalam pada itu memainkan tiga peranan utama dalam isu AI termasuk dalam aspek ilmiah bagi mengumpul sarjana agama, penggubal dasar dan pakar teknologi untuk merumuskan cadangan serta garis panduan.

Beliau berkata IKIM turut terlibat dalam jawatankuasa penggubalan dasar berkaitan AI serta mendidikan masyarakat menerusi platform medianya, IKIMfm dengan penerbitan rancangan ‘Tech Talk’ dan ‘AI & U’. 

Turut hadir Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman dan Professor Dr. Shamsul bin Sahibuddin, Menjalankan Fungsi Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur. 

WhatsApp
Scroll to Top