SEPANG, 29 Sept (IKIM) – Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang kini memasuki hari ke-29 berdepan cabaran teknikal apabila sebuah kapal pemerhati, Johnny M, mengalami kerosakan enjin dan kebocoran sehingga dimasuki air, awal pagi tadi.
Menurut laporan rasmi Sumud Nusantara Command Center (SNCC), insiden itu berlaku pada jam 2.45 pagi waktu GMT+3 (7.45 pagi waktu Malaysia), menyebabkan kapal terbabit tidak dapat meneruskan pelayaran.
Bagaimanapun, semua peserta termasuk enam delegasi Malaysia telah berjaya dipindahkan ke kapal lain dengan selamat pada jam 9.00 pagi waktu tempatan (2.00 petang waktu Malaysia).

“Delegasi Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat. Tiada sebarang insiden keselamatan lain dilaporkan, termasuk ancaman drone,” kata Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim dalam sidang media harian di sini hari ini.
Beliau menjangkakan misi bakal berdepan kelewatan selama empat hari sebelum tiba di zon merah dan Gaza pada Khamis, 2 Oktober ini. Dalam masa sama, pihaknya menafikan khabar angin kononnya sebuah kapal delegasi terbakar.
“Sekretariat menegaskan bahawa misi Flotilla tetap diteruskan ke Gaza. Kami menyeru semua penyokong, media, keluarga peserta dan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan cubaan melemahkan solidariti antarabangsa ini,” tegasnya.
Sani Araby turut menasihatkan semua pihak merujuk pusat itu sebagai sumber sahih perkembangan misi bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar yang boleh dimanipulasi sebagai propaganda Zionis.
Foto: MAPIM