DAURAH HADITH 40 IMAM AL-NAWAWI SEMARAKKAN BUDAYA ILMU DAN PERPADUAN UMMAH

PUTRAJAYA, 26 Sept (IKIM) – Majlis Daurah Hadith 40 Imam al-Nawawi disifatkan sebagai suatu acara istimewa yang menzahirkan penghayatan ilmu serta memperkukuh identiti Islam yang rahmah, progresif dan membina.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata majlis ini bukan sekadar daurah, tetapi menjadi bukti keterangkuman masyarakat dalam menjulang nilai keilmuan serta kesungguhan memperteguh turath ilmiah di bumi Malaysia.

“Hal ini seiring dengan gagasan Al-Falah yang menekankan ilmu sebagai asas kesejahteraan ummah dan kemakmuran negara, serta selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang berteraskan ilmu, ihsan, hormat dan integriti,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Khatam Hadith 40 Imam Al-Nawawi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, semalam. 

Mohd Na’im berkata usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Daurah Hadith 40 Imam al-Nawawi wajar dipuji kerana mengajak umat Islam mendalami dan menghayati hadis Nabi SAW dalam kehidupan seharian.

“Biarlah kita menjadi insan yang beramal dengan akhlak Rasulullah SAW, dengan masjid pula terus berperanan bukan hanya sebagai pusat ibadah, tetapi juga pusat ilmu, ukhuwah dan simbol perpaduan ummah,” tambah beliau. 

Mengulas cabaran era digital, beliau menegaskan bahawa kemunculan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan lambakan maklumat tidak ditapis menuntut langkah berhati-hati agar masyarakat tidak terdedah kepada penyelewengan hadis palsu.

“Teknologi wajar dijadikan alat bantu, bukan menggantikan proses pendidikan secara bertalaqqi, bersanad dan beretika,” jelasnya.

Beliau turut mengajak agar pengajian hadis terus diperkasa di masjid dan surau melalui program Sama‘ Hadith, penggunaan kitab hadis yang ditahqiq pakar tempatan, serta pemanfaatan teknologi secara bijaksana demi kelestarian ilmu hadis.

Majlis daurah yang berlangsung selama 13 siri dari 26 Januari 2024 hingga 29 Ogos 2025 dijayakan oleh tokoh terkemuka; Mantan Mufti Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi Panel Pemikir Hadith (PPH) Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah; dan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Syeikh Ahmad Fuad bin Amran. 

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee. 

Foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im

WhatsApp
Scroll to Top