MALAYSIA KUKUHKAN PERANAN SEBAGAI PENERAJU EKONOMI HALAL GLOBAL

KUALA LUMPUR, 20 Sept (IKIM) – Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memimpin pembangunan halal dunia dengan menjadikan halal sebagai piawaian sejagat berteraskan nilai kepercayaan, keselamatan, kualiti, dan kelestarian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejak tahun 1970-an Malaysia telah membina ekosistem halal yang kukuh, daripada perintis piawaian halal kepada menjadi negara pertama di dunia memperakui farmaseutikal halal. Hasilnya, Malaysia diiktiraf sebagai ekonomi halal terkemuka dunia selama 11 tahun berturut-turut dalam State of the Global Islamic Economy Report.

“Halal kini bukan hanya soal makanan. Ia meliputi ubat-ubatan, fesyen, logistik, kewangan, dan teknologi masa depan. Halal adalah bahasa kepercayaan sejagat,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Sri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz pada World Halal Business Conference Circuit 2025 di sini pada Khamis. 

Pada separuh pertama 2025, eksport halal Malaysia mencecah USD7 bilion atau 16.1 peratus daripada jumlah eksport negara, dengan produk utama seperti makanan dan minuman, bahan ramuan halal, serta derivatif sawit ke pasaran China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun, dan Indonesia.

Dengan lebih 10,000 syarikat diperakui halal, kejayaan ini menurut beliau adalah hasil kerjasama erat kerajaan, sektor swasta, PKS, pelabur, dan institusi akademik.

Bertemakan “Halal: Beyond Boundaries”, persidangan tahun ini mengajak agar halal terus menembusi pasaran baharu di Afrika, Amerika Latin, dan Asia Tengah; memperluas ke industri masa depan seperti fintech, bioteknologi, dan tenaga hijau; serta mengubah pemikiran agar halal dilihat sebagai piawaian universal, bukan semata-mata untuk Muslim.

Malaysia juga sedang menubuhkan Suruhanjaya Halal Malaysia sebagai badan berkanun tunggal, mencadangkan Majlis Halal ASEAN, dan memimpin World Halal Development Council (WHDC) bagi menyelaras dasar, inovasi, serta pelaburan halal global.

“Halal bukan lagi tanda pematuhan semata-mata, tetapi standard kecemerlangan dan jambatan antara komuniti dunia. Dari permulaan yang sederhana, Malaysia kini menawarkan visi sebuah ekonomi global yang lebih beretika, inklusif, dan mampan,” kata beliau.

WhatsApp
Scroll to Top