“KECAMAN TIDAK CUKUP” – PM ANWAR TUNTUT TINDAKAN TEGAS HENTIKAN KEKEJAMAN ISRAEL

DOHA, 15 Sept (IKIM) – “Kecaman demi kecaman tidak akan menghentikan peluru berpandu. Kenyataan demi kenyataan tidak akan membebaskan Palestin. Tindakan keras mesti diambil terhadap Israel,” demikian menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab – Islam yang berlangsung di sini hari ini. 

Perdana Menteri mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap Israel, sambil mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu rejim itu ke atas ibu negara Qatar, Doha, serta pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza.

Dalam ucapannya pada , beliau menegaskan serangan tersebut bukan sahaja merupakan pencerobohan terhadap kedaulatan Qatar, malah pelanggaran undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan rantau ini.

“Menyerang Qatar bermakna mensabotaj usaha perdamaian yang dipimpin oleh Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani. Serangan ini mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua,” kata beliau. 

Beliau turut menegaskan bahawa Gaza terus dihimpit penderitaan yang dahsyat dengan keluarga musnah, hospital runtuh dan kanak-kanak terkorban, manakala di Tebing Barat pula penindasan Israel masih berterusan tanpa henti. Menurutnya, tindakan Israel juga telah meluas dengan serangan ke atas Lubnan, Syria, Yaman, Iraq dan Iran, sekali gus memperlihatkan penghinaan terhadap peradaban serta sistem antarabangsa.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar. 15 September 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

“Israel secara terbuka telah mengisytiharkan bahawa tidak akan pernah wujud negara Palestin. Ini adalah pengisytiharan apartheid kekal dan penolakan terhadap setiap resolusi PBB serta hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” ujar beliau. 

Anwar menekankan bahawa dunia Islam tidak boleh lagi sekadar mengeluarkan kecaman atau deklarasi, sebaliknya perlu mengambil langkah tegas termasuk menggantung hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar. 15 September 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

Beliau turut memberi perhatian terhadap misi flotila bantuan yang kini belayar menuju Gaza, sambil menyeru agar semua pihak memastikan ia tiba dengan selamat tanpa dihalang oleh kekerasan.

“Ini adalah misi kemanusiaan dan kita mesti melakukan segala usaha bagi memastikan ia sampai ke Gaza. Membiarkannya dihalang dengan kekerasan adalah satu pengkhianatan terhadap amanah hati nurani kita… untuk mempertahan yang lemah, melindungi yang tertindas dan memberi makan kepada yang kelaparan,” menurut beliau.

Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan perkembangan terkini melibatkan serangan Israel ke atas negara berkenaan.

Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan; serta pegawai kanan Kementerian Luar.

Foto: FB Anwar Ibrahim/Izzuddin

WhatsApp
Scroll to Top