KHUTBAH JUMAAT SERU UMAT ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN

“Merajut Perpaduan Menyulam Muafakat”mengingatkan umat Islam bahawa perpaduan adalah nadi kekuatan umat yang mesti dipelihara demi menjamin keamanan, kestabilan dan pembangunan negara.

Khutbah menekankan bahawa tanpa perpaduan, masyarakat mudah dipengaruhi, dijajah pemikiran serta dipecahbelahkan oleh musuh yang ingin melihat umat lemah. Sebaliknya, dengan perpaduan, lahirlah keamanan, keharmonian serta kekuatan yang mendorong kemajuan ummah.

Malaysia yang memiliki lebih 80 etnik serta kepelbagaian agama dan kepercayaan digambarkan sebagai sebuah negara unik yang berjaya mengekalkan suasana damai dan harmoni. Namun, khutbah turut memberi peringatan bahawa benang perpaduan yang selama ini ditenun indah kini semakin terlerai apabila isu-isu perkauman dan perbalahan sering dibangkitkan di media massa mahupun media sosial.

“Syaitan sentiasa mengintai peluang untuk mencarik perpaduan dan muafakat sesama umat Islam,” demikian antara peringatan khutbah.

Khutbah turut mengimbau tindakan Rasulullah SAW yang menjadikan perpaduan asas pembinaan negara melalui pemuafakatan antara Muhajirin dan Ansar serta termeterainya Piagam Madinah. Dokumen itu bukan sahaja mengiktiraf hak umat Islam, malah menjamin hak masyarakat Yahudi dan kabilah lain untuk hidup dalam perjanjian damai, membuktikan bahawa perpaduan adalah asas kepada keamanan masyarakat majmuk.

Sehubungan itu, khutbah menegaskan bahawa merajut perpaduan bukanlah pilihan tetapi kewajipan yang bermula dengan keikhlasan hati, kelembutan lidah dan tindakan yang membina.

Tiga saranan utama turut diketengahkan sebagai panduan umat Islam dalam usaha memperkukuh perpaduan, iaitu:

  1. Menyedari bahawa Malaysia sebagai negara berbilang agama dan bangsa adalah harta tidak ternilai yang wajib dipelihara.
  2. Menjauhi fitnah dan kebencian yang diibaratkan sebagai bom jangka yang mampu memusnahkan perpaduan.
  3. Berpegang teguh pada jalan Allah SWT dengan menjaga persaudaraan sesama Islam dan masyarakat bukan Islam.

Khutbah menutup pesanan dengan menyeru umat Islam agar terus memperkukuhkan muafakat demi memastikan keamanan dan keharmonian negara dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Artikel ini diolah dari Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

WhatsApp
Scroll to Top