KOTA KINABALU, 9 September (IKIM) – Malaysia menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara memacu pembangunan bioteknologi secara bertanggungjawab dengan pelancaran Garis Panduan Etika Bioteknologi di Malaysia sempena ASEAN Bioethics Seminar 2025.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata dokumen penting ini bukan sekadar peraturan, sebaliknya menjadi peta hala tuju inovasi beretika yang menekankan perlindungan data genetik, ketelusan dalam kajian klinikal, penggunaan haiwan secara beretika serta pemeliharaan kepercayaan masyarakat terhadap bioteknologi.

“Garis panduan ini adalah dokumen hidup yang akan disemak dari semasa ke semasa agar terus relevan dengan perkembangan pesat teknologi. Ia bukan penghalang kemajuan, tetapi asas kepada kepercayaan masyarakat, dan tanpa kepercayaan, inovasi tidak akan berkembang,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada ASEAN Bioethics Seminar 2025, di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan teknologi seperti bioteknologi, kecerdasan buatan (AI), penyuntingan gen dan inovasi makanan baharu mampu menawarkan penyelesaian kepada cabaran global termasuk penyakit keturunan, keselamatan makanan dan perubahan iklim. Namun, katanya, ia turut membawa persoalan besar menyentuh aspek keselamatan, keadilan dan moral.

“Kemajuan bioteknologi mesti seiring dengan tadbir urus etika yang kukuh. Seminar ini memastikan kemajuan kita berpandukan bukan sahaja kepada sains, tetapi juga kepada prinsip yang melindungi masyarakat dan alam sekitar,” ujar beliau.
Seminar dua hari ini menghimpunkan 250 peserta termasuk wakil semua Negara Anggota ASEAN, Timor-Leste, Sekretariat ASEAN, dan International Centre for Genetic Engineering and Biotechnology (ICGEB), selain pembuat dasar, saintis, pakar etika, dan pemimpin industri.
Seminar yang mengangkat tema “Navigating Bioethical Frontiers: Sustainability and Resilience in ASEAN” ini turut melibatkan kolaborasi termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), Kerajaan Negeri Sabah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Institut Bioteknologi Negara Malaysia (NIBM).

Turut hadir Setiausaha Hasil Bumi, Sabah Datuk Sernam Singh; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI Puan Norsham binti Abdul Latip; dan Pengarah Penyelidikan, Unit Pengurusan Penyelidikan IKIM Dr. Shaikh Mohd. Saifudeen Shaikh Mohd. Salleh.