PUTRAJAYA, 22 Ogos (IKIM) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima Deklarasi Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia-Indonesia 2025, yang dilihat sebagai dokumen penting dalam memperkukuh gagasan MADANI serta hubungan serantau antara kedua-dua negara.
Deklarasi yang mengandungi lima tonggak utama itu diserahkan oleh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan Pengerusi Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Tamadun Indonesia, Prof Dr M Din Syamsuddin dalam satu majlis ringkas di Masjid Putra, di sini.
Deklarasi tersebut menyentuh tentang konsep MADANI sebagai wawasan alternatif peradaban sejagat yang merangkumi potensi perkembangan peradaban Melayu-Islam,keseimbangan alam sekitar mengatasi pertumbuhan eksploitasi serta pemulihan keseimbangan psikologi individu dan masyarakat.

Selain itu, deklarasi tersebut turut menekankan pengembalian sektor halal dan kewangan Islam kepada faham ekonomi yang adil serta meraikan kepelbagaian peradaban.
Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia-Indonesia (MALINDO MADANI) merupakan platform strategik yang menghimpunkan sarjana, pemimpin pertubuhan Islam, pembuat dasar serta tokoh masyarakat dari kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama peradaban.
Majlis yang berlangsung tiga hari ini dianjurkan bersama oleh IKIM, Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Tamadun Indonesia (CDCC), The International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah).
Terdahulu, Perdana Menteri yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, menunaikan solat Jumaat bersama lebih 4,000 jemaah di Masjid Putra.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.