PENGHAYATAN AGAMA PENTING DALAM SEMANGAT CINTAKAN NEGARA

PUTRAJAYA, 21 Ogos (IKIM) – Penghayatan agama yang memerdekakan pemikiran penting dalam menyemai semangat cintakan negara, demikian menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan. 

Beliau berkata penghayatan agama ini penting serta perjuangan kemerdekaan ini; benteng, tembok dan kubunya sepertimana yang disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah hasil daripada pengetahuan dan penghayatan agama. 

“Agama itu memang menanamkan semangat cintakan tanah air dan diperingkat Hal Ehwal Agama, kita telah bermula sejak awal lagi menanamkan kesedaran dan penghayatan cintakan negara yang dianjurkan oleh agensi-agensi,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Agensi Hal Ehwal Agama 2025, di sini hari ini. 

Zulkifli berkata pelbagai aktiviti bakal dianjurkan oleh agensi hal ehwal agama sehingga 16 September nanti dalam mewujudkan perpaaduan supaya dapat sama-sama membina negara yang tercinta. 

“Kita mengambil perspektif agama dan kaitannya dengan cintakan negara kerana agama menuntut dan menggalakkan semua untuk cintakan tanah air dan semangat membina negara,” tambah beliau. 

Beliau dalam pada itu turut menyeru semua rakyat Malaysia khususnya umat Islam agar menghayati tuntutan agama; al-Quran dan as-Sunnah serta nasihat-nasihat daripada para ulama muktabar berkenaan tanggungjawab kita sebagai rakyat, pemimpin dan setiap kita mempunyai peranannya masing-masing dalam menyemai kecintaan kepada negara. 

Majlis sambutan turut diserikan dengan bacaan ikrar oleh semua warga agensi, persembahan lagu patriotik, pertunjukan silat serta pertandingan pakaian tema patriotik. 

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee; dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad. 

WhatsApp
Scroll to Top