KUALA LUMPUR, 12 Ogos (IKIM) – Semua masjid di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat khas buat almarhumah Adik Zara Qairina pada Khamis, 14 Ogos ini selepas solat Maghrib.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, arahan tersebut dikeluarkan sebagai tanda solidariti dan doa seluruh umat Islam terhadap almarhumah, selain memohon agar Allah SWT mencucuri rahmat dan mengampuni segala dosanya serta menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
“Saya menyeru seluruh umat Islam, khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan, untuk hadir dan menyertai majlis bacaan Yasin dan solat hajat di masjid atau surau masing-masing. Semoga doa yang dipanjatkan secara berjemaah ini memberi ketenangan kepada ahli keluarga dan menjadi bekalan pahala buat almarhumah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi ayat 107: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka Syurga Firdaus sebagai tempat tinggal.”