BANGI, 11 Ogos (IKIM) – Selepas lebih sedekad membawa misi kemanusiaan membantu pelarian Syria, Cinta Syria Malaysia (CSM) hari ini melangkah ke fasa baharu dengan penjenamaan semula sebagai ‘Cinta Salam Malaysia’ bagi memperluaskan bantuan kepada pelarian dan komuniti rentan di seluruh dunia.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Ahmad Musa Al-Nuwayri, pada majlis pelancaran di Bandar Baru Bangi yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah, penasihat strategik, rakan NGO dan aktivis kemanusiaan.
Beliau berkata perubahan ini bukan sekadar pertukaran nama, sebaliknya mencerminkan hala tuju organisasi yang lebih inklusif, strategik dan berimpak jangka panjang.

“Sekalipun kita tukar kepada Cinta Salam Malaysia, kita tidak lupa kepada identiti kita yang asal dan fokus kita akan membina semula negara Syria yang kita tahu prosesnya panjang dan disebut 30 tahun memakan masa untuk membina semula. Fokus kita adalah bekerjsama dengan kerajaan Syria sendiri untuk membina semula Syria,” kata beliau.
CSM dalam masa terdekat merancang membuka cawangan rasmi di Syria bagi menguruskan bantuan secara terus, mempercepatkan tindak balas kecemasan serta membangunkan kapasiti tenaga kerja tempatan.
“Antara projek kita yang pertama setelah Syria menang adalah projek pembinaan semula kampung Abu Abdullah, salah seorang pelarian yang telah kembali semula ke Syria dan kita letakkan sasaran rumah sebanyak 30 hingga 35 buah rumah yang mana saya lihat ini satu permulaan yang besar dalam proses membina semula Syria,” tambah beliau.
Ahmad Musa berkata CSM kini memberi fokus kepada tiga teras utama antaranya visi merentas sempadan, misi menyantuni lebih ramai pelarian, serta program berorientasikan impak jangka panjang.
Berpegang kepada enam nilai strategik baharu yang diperkenalkan antaranya ketelusan, kecemerlangan, kerjasama strategik, keterangkuman, gerbang maklumat dipercayai, dan pemerkasaan sosial & ekonomi sebagai asas kepada tadbir urus dan keberkesanan program.
“-SALAM- melambangkan keamanan dalam kekacauan, peradaban dalam kehancuran, dan penghubung kasih antara penderma dan penerima,” kata beliau.

Dalam pada itu, CSM turut menyatakan komitmen dalam perjuangan pembebasan Palestin bersama Cinta Gaza Malaysia dengan turut serta dalam misi Sumud Nusantara, penghantaran kapal menerusi inisiatif ‘Global Sumud Flotilla’ bagi memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza bersama 44 buah negara yang turut menyertai.
“Ini adalah satu konvoi laut secara besar-besaran dan yang paling besar dibuat sebagai cubaan bagi memecahkan kepungan di Israel. Kita akan bawa bantuan dan akan lihat kapal apa yang bawa bantuan. Niat ke sana (Gaza) adalah untuk memecahkan kepungan di Gaza dan satu benda yang paling besar adalah ingin maklumkan kepada orang yang kita benar-benar serius untuk menyampaikan bantuan mepada mereka,” ujar beliau.
Turut hadir Pakar Rujuk CSM, Prof. Dr. Kamaruzaman Yusuf serta aktivis kemanusiaan, Aizat Amdan dan PU Rahmat.