KUALA LUMPUR, 10 Ogos (IKIM) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperkukuh ekosistem pendidikan turath dan moden menerusi pencapaipan sepuluh tahun penubuhan Pondok Moden Al-‘Abaqirah (PMA).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata menandakan ulang tahun ke-10 pada 2025, PMA kini berbangga dengan pelbagai kejayaan termasuk pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pengintegrasian pengajaran digital, serta kemudahan moden seperti Future Classroom.
“MAIWP kini merancang pembangunan kompleks tetap baharu berkonsepkan smart campus di Putrajaya bukan sekadar bangunan, tetapi ekosistem pendidikan yang kondusif, inklusif, dan lestari,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Hafl Al-Takharruj kali ke-4 Pondok Moden Al-’Abaqirah serta pelancaran Modul Turath MAIWP di sini hari ini.

Mengenai Modul Turath MAIWP yang dipengerusikan Mufti Wilayah Persekutuan bersama panel pakar dalam bidang Fiqh, Tasawuf, Hadis dan Bahasa Arab itu, modul tersebut berpaksikan manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah, dengan pendekatan infografik, Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dan penilaian bersepadu bagi memastikan pelajar memahami teks, bukan sekadar menghafaz.
“Ia menjadi langkah strategik dalam memastikan pendidikan Islam kekal relevan dan bersifat arus perdana dalam menghadapi cabaran semasa,” tambah beliau.
Mohd Na’im turut menyampaikan pesan kepada para graduan PMA kejayaan para graduan perlu dilihat sebagai amanah yang harus digunakan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara, di samping menjadi batu loncatan ke arah kecemerlangan berterusan.

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil; dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.