QARI & QARIAH MALAYSIA JOHAN TILAWAH AL-QURAN MTHQA KE-65

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (IKIM) – Qari Malaysia, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Malaysia, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dinobatkan johan bagi kategori tilawah lelaki dan wanita bagi Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65.

Aiman dengan markah 97.01% mengatasi peserta Indonesia, Ahmad Azroi Hasibuan (95.13 peratus) dan wakil Turkiye, Muhammed Yahya Yildizhan (93.88 peratus). 

Manakala qariah Malaysia, Wan Sofea Aini dengan markah 95.88% mengatasi peserta Maghribi, Fatima Zahra Assafar (89.38 peratus) dan wakil Indonesia, Nur Rahmiyatin Adhya (87.59 peratus).

Manakala peserta kategori hafazan wanita menempatkan Malaysia di tempat kedua dengan kemenangan oleh Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dengan markah 96.75%. 

Keputusan diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Majlis Penutup MTHQA ke-65 dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar.

Turut sama hadir, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul; Imam Masjid Nabawi, Sheikh Dr Salah Muhammad Al-Budair; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Kategori hafazan lelaki menyaksikan peserta Jerman, Usamah Barghouth, muncul juara dengan markah 98.25 peratus, diikuti Mohammad Abdullah Masasati (Syria) dengan 98.01 peratus, manakala tempat ketiga dimenangi Mohammad Jamil Farhat (India) dengan 97.25 peratus.

Bagi kategori hafazan wanita, peserta Syria, Tasneem Arian Omar, meraih kejuaraan dengan markah 97.5 peratus. Tempat kedua menjadi milik Putri Auni Khadijah dari Malaysia (96.75 peratus) dan tempat ketiga Najway Ali Zaydan Alkourbu dari Libya (95.51 peratus).

Johan setiap kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran menerima hadiah wang tunai RM40,000, barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), hadiah iringan serta sijil penghargaan.

Dengan tema “Membangun Ummah MADANI”, MTHQA ke-65 berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos, menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.

WhatsApp
Scroll to Top