PESERTA AL-QURAN DI MANA-MANA BERLEPAS DARI KL SENTRAL KE HATYAI

KUALA LUMPUR, 29 Julai (IKIM) – Seramai 100 orang peserta menyertai program Al-Quran Di Mana-mana dari Kl Sentral ke Hatyai bermula hari ini sehingga 31 Julai nanti. 

Program bagi menyemarakkan syiar al-Quran ini merupakan sebahagian daripada acara sampingan bersempena penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 yang berlangsung bermula 2 hingga 9 Ogos nanti. 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata program yang disertai oleh pelajar-pelajar Darul Quran JAKIM dan Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ini akan memulakan bacaan al-Quran tanpa henti bermula dari KL Sentral hingga ke Hatyai, Thailand.

“Di samping promosi (MTHQA) ini, ianya sebagai penyebab untuk menggambarkan kepada umat Islam bahawa dalam mengisi kekosongan dan waktu yang ada adalah digalakkan untuk kita membaca al-Quran,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Peserta Program Al-Quran di Mana-mana @ ETS, di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), En. Afzar Zakariya.

Program anjuran JAKIM dan Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM ini merupakan kreativiti baharu dalam melebarkan risalah syiar Islam bagi menjadi pencetus kepada satu usaha bersejarah. 

Selain daripada bacaan al-Quran 30 juzuk oleh pelajar Darul Quran JAKIM, pelbagai inisiatif juga dibuat sepanjang program termasuk pemberian al-Quran kepada penumpang tren ETS serta program komuniti bersama masyarakat setempat di Hatyai, Thailand. 

MTHQA ke-65 kali ini melibatkan seramai 72 peserta dari seluruh dunia mewakili 50 buah negara. 

Selain persembahan tilawah dan hafazan al-Quran daripada para peserta dari seluruh dunia, MTHQA ke-65 turut membawakan Imam dan Khatib Masjid Nabawi Sheikh Dr. Salah bin Muhammad al- Budair, menerusi program World Quran Symposium (WQS) pada 7 Ogos nanti. 

Siaran MTHQA ke-65 boleh ditonton menerusi TV1, TV Al-Hijrah serta boleh didengari menerusi IKIMfm dan siaran digital tvIKIM. 

WhatsApp
Scroll to Top