PUTRAJAYA, 16 Julai (IKIM) – Penganjuran forum ilmu, Forum Al-Falah Madani akan dijadikan program berkala yang bakal digerakkan ke lokasi-lokasi strategik di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata forum ini boleh dijadikan platform libat urus strategik atau outreach bersepadu antara agensi dan rakyat.
“Menerusi komunikasi langsung ini, forum ini akan menyumbang kepada peningkatan kefahaman masyarakat, meleraikan kekeliruan, dan merapatkan semula jurang antara institusi agama dan umat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Warga Agensi Hal Ehwal Agama di sini hari ini.
Forum Al-Falah MADANI hari ini menampilkan Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Haji Mustakim Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Haji Namanzee Harris dengan tema Islam Mekar di Bumi Malaysia.

Selain itu, beliau dalam ucapannya berkongsi antara pencapaian agensi hal ehwal agama antaranya penganjuran Pavilion Al-Falah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang digerakkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Beliau turut berkongsi kejayaan operasi haji bagi musim haji 1446H/2025M sehingga Malaysia dianugerahkan Labbaytum Diamond Award oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Lembaga Tabung Haji (TH).
“Tahniah juga kepada Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (YADIM) atas kejayaan meneruskan program Akademi Daie Muda YADIM (DMY) untuk tahun 2025 dengan seramai 31 pendakwah muda kini sedang dibimbing secara intensif,” tambah beliau.
Beliau dalam pada itu turut mencadangkan supaya seluruh agensi Hal Ehwal Islam di bawah JPM berganding bahu menggerakkan satu inisiatif bersama menjayakan Santuni Al-Falah MADANI: Agenda
Kesejahteraan Sosial Ummah. inisiatif ini bagi mendekati rakyat dalam menangani cabaran khususnya berkaitan kos sara hidup, akses peluang ekonomi, dan pemerkasaan kumpulan rentan di peringkat akar umbi.
“Sebagaimana kejayaan Pavilion Al-Falah dalam memperluas capaian ilmu kepada masyarakat, kempen Santuni Al-Falah MADANI pula bakal menjadi kempen induk yang meningkatkan kehadiran agensi Hal Ehwal Islam di tengah denyut nadi rakyat. Ia mesti menjawab persoalan bagaimana institusi agama menyumbang kepada penyelesaian masalah rakyat hari ini,” tambahnya lagi.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
Jurugambar: Fathulmungin Mohd Yusof