PUTRAJAYA, 15 Julai (IKIM) — Kerajaan MADANI menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan salah laku kehakiman di negara ini ditangani berdasarkan mekanisme yang jelas seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin integriti dan kebebasan badan kehakiman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku hakim, dengan penggantungan tugas boleh dilakukan atas nasihat Perdana Menteri selepas berbincang dengan Ketua Hakim Negara.
“Selain itu, Ketua Hakim Negara turut mempunyai kuasa di bawah Perkara 125(3A) untuk merujuk sebarang pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman seperti yang diperuntukkan dalam Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 [Akta 703],” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara 125(3B) pula memperuntukkan kod etika bertulis yang menetapkan piawaian tinggi kelakuan dan integriti dalam kalangan hakim. Kod Etika Hakim 2009 [P.U.(B) 201/2009], yang berkuat kuasa sejak 1 Julai 2009, menjadi rujukan utama bagi menetapkan standard berlandaskan undang-undang.
Menurut Azalina, kerangka ini penting bagi memastikan badan kehakiman bebas daripada sebarang pengaruh politik atau luar, sejajar dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Oleh itu, katanya, badan eksekutif dan legislatif tidak boleh mencampuri urusan berkaitan etika kehakiman.
Mengulas mengenai inisiatif “Walk to Safeguard Judicial Independence” anjuran Badan Peguam Malaysia, Azalina berkata, kerajaan menghormati kebimbangan yang dibangkitkan dan komited untuk menanganinya secara bertanggungjawab dan telus, berpandukan kepada lunas-lunas Perlembagaan.
Sebagai langkah ke arah itu, minggu lalu kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Kajian Perbandingan Sistem Pelantikan Kehakiman yang dijalankan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
“Tujuan kajian ini adalah untuk memberikan kejelasan lebih baik terhadap peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), di samping menangani isu-isu yang turut diketengahkan oleh Badan Peguam Malaysia,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan bersikap terbuka dan mengalu-alukan penyertaan Badan Peguam dalam kajian tersebut demi memastikan sistem pelantikan kehakiman yang telus, berintegriti dan diyakini rakyat.
“Segala isu yang dibangkitkan perlu dilihat dalam kerangka undang-undang sedia ada, termasuk Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695],” katanya.
Kerajaan juga menyeru semua pihak untuk terus menghormati peranan institusi kehakiman serta proses perlembagaan yang menjadi asas kepada kebebasan badan kehakiman negara.
Foto: BERNAMA