PUTRAJAYA, 15 Julai (IKIM) – Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan (KZK) 2025 bakal menyantuni keluarga asnaf di negeri Johor dalam siri kembara yang bermula 15-18 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata program tahunan yang masuk tahun kesembilan penganjuran ini menjadi simbol muafakat antara kerajaan Persekutan dan negeri dalam memperkasa institusi zakat di Malaysia.
“KZK ini juga bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap sistem kutipan dan agihan zakat, serta peranan penting Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) di peringkat negeri,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelepasan (Flag-off) Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata seramai 167 orang peserta daripada 16 MAIN/AMZ seluruh negara melibatkan 44 buah kenderaan menyertai konvoi ini yang akan menjelajah ke tiga daerah di Johor; Johor Bahru; Batu Pahat; dan Pontian.
Program dengn tema “Muafakat Zakat, Negeri Berkat” ini anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan dan Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Hj. Ahmad Fuad Mat Ali.