KUALA LUMPUR, 14 Julai (IKIM) – Pelbagai pengisian program dibuat bagi menyemarakkan syiar al-Quran sepanjang penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 Tahun 1447H/2025 pada 2 hingga 9 Ogos nanti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata selain persembahan tilawah dan hafazan al-Quran daripada para peserta dari seluruh dunia, MTHQA ke-65 turut membawakan Imam dan Khatib Masjid Nabawi Sheikh Dr. Salah bin Muhammad al- Budair, menerusi program World Quran Symposium (WQS) pada 7 Ogos 2025.
“Selain itu, kita akan mengadakan acara khas Bacaan al-Quran Terpanjang dari KL Sentral ke Hatyai. Acara ini adalah kreativiti baharu dalam melebarkan risalah syiar Islam bagi menjadi pencetus kepada satu usaha bersejarah dengan mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Bacaan al-Quran Terpanjang di Dalam Kereta Api Merentasi Sempadan Antarabangsa’,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika program Pra Pelancaran MTHQA ke-65 di sini hari ini.

Beliau turut mengajak orang ramai menyaksikan MTHQA Ke-65 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada 2 hingga 9 Ogosini bagi memeriahkan lagi majlis gilang gemilang ini dalam sama-sama mengangkat usaha memertabatkan al-Quran.
MTHQA ke-65 kali ini melibatkan seramai 72 peserta dari seluruh dunia mewakili 50 buah negara, iaitu; Kategori Tilawah Al-Quran seramai 40 orang peserta (Lelaki : 26, Perempuan : 14); serta Kategori Hafazan al-Quran seramai32 orang peserta (Lelaki : 20, Perempuan : 12).
“Malaysia akan diwakili oleh empat (4) orang peserta; dua (2) orang peserta Tilawah al-Quran Saudara Aiman Ridhwan bin Mohamad Ramlan dari Negeri Perak; dan Saudari Wan Sofea Aini binti Wan Mohd Zahidi dari Negeri Terengganu,” katanya lagi.

Manakala dua (2) orang peserta Hafazan al-Quran Saudara Muhammad Adib bin Ahmad Rozaini dari Negeri Perak dan Saudari Putri Auni Khadijah binti Mohd Hanif dari Negeri Kelantan.
Hadiah berupa wang tunai RM40,000 diberikan kepada johan qari dan qariah serta johan hafazan lelaki dan perempuan beserta barangan emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Gold.
Program tahunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini mengangkat tema “Membangun Ummah MADANI” sebagai simbol iltizam negara untuk terus menyuburkan syiar al-Quran sebagai sumber rujukan utama dalam pembinaan peradaban Malaysia.
Siaran MTHQA ke-65 boleh ditonton menerusi TV1, TV Al-Hijrah serta boleh didengari menerusi IKIMfm dan siaran digital tvIKIM.
Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Mohd Ajib Ismail.