PUTRAJAYA, 10 Julai (IKIM) – Sebanyak 235 jilid Hui Muslim Canon yang merupakan ensiklopedia sejarah Islam di China telah diserahkan kepada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) untuk tujuan kajian serta bahan rujukan.
Ensiklopedia tersebut telah disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar di pejabat beliau hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Mohd Na’im berkata sumbangan ini adalah satu khazanah besar hasil usaha sarjana Islam dari China selama lebih 1000 tahun dan selari dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem ilmu di negara ini.
“Dalam konteks kerajaan MADANI dan juga Pelan Transformasi Al-Falah yang telah dibangunkan di peringkat agensi agama, ilmu diberikan kepentingan. Saya kerap sebut tentang kepentingan ilmu ini dan IKIM sendiri pun satu institusi yang ditubuhkan untuk menyebarluaskan Islam sebenar,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi serahan Hui Muslim Canon di sini hari ini.

Beliau berkata dengan adanya sumbangan ensiklopedia ini, kita harap akan wujud hubungan interaksi yang lebih rapat antara sarjana Islam di Malaysia dan sarjana Islam di China.
“Dengan kehadiran koleksi seperti ini, kita perkuatkan lagi usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan ilmu Islam kontemporari dan warisan,” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM ketika ditemui pada majlis tersebut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang telah memilih IKIM bagi menempatkan ensiklopedia tersebut untuk menjadi rujukan kepada semua yang berminat membuat kajian berkenaan Islam di China.
“Ini satu perkara yang begitu penting terutama bagi pengkaji-pengkaji untuk melihat bahawa masyarakat di China tidak asing dan tamadun Islam telah terbina di China. Saya kira sekiranya kita boleh memahami Islam itu dalam kepelbagaian bahasa dan tamadun yang telah dibina itu, kita boleh bawa kepada masyarakat cina di Malaysia bahawa Islam telah bertapak di China dengan begitu lama,” katanya.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Pengerusi China Cuisine Association, Tuan Ma Zhijun.
Wartawan: Maslina Alias & Faiz Hj. Othman
Jurugambar: Fathulmungin Mohd Yusof