Makkah, 7 Julai (IKIM) – Seorang lagi jemaah haji Malaysia, Almarhum Ahmad Kerya telah disahkan meninggal dunia di Tanah Suci pada 6 Julai, jam 1.22 petang (waktu tempatan) di Hospital King Abdul Aziz, Makkah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, almarhum berusia 70 tahun dan berasal dari Kodiang, Kedah.
Beliau merupakan jemaah haji dari kumpulan KT099, Maktab 81, di bawah seliaan Pengelola Jemaah Haji (PJH) Al Balad dan isteri almarhum turut berada bersama beliau di Tanah Suci, manakala anak-anak berada di tanah air.
Punca kematian dikenal pasti sebagai septicemic shock secondary to pneumonia with multi organ failure.
“Saya menerima khabar dukacita ini dengan penuh rasa sedih. Bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum,” kata Mohd Na’im dalam kenyataan rasmi hari ini.
Beliau turut mendoakan agar roh Almarhum diampunkan, diterima segala amal soleh serta ditempatkan dalam kalangan para solihin.
“Insya-Allah, pemergian di bumi barakah dalam musim haji adalah satu kemuliaan yang besar di sisi Allah SWT,” tambah beliau.
Setakat ini katanya, Tabung Haji dan pasukan perubatan Malaysia di Arab Saudi terus memberikan khidmat sokongan kepada para jemaah, termasuk urusan pengurusan jenazah dan kebajikan waris.