TOKOH TAKAFUL, DATO’ FADZLI TOKOH MAAL HIJRAH WILAYAH PERSEKUTUAN 1447H

KUALA LUMPUR, 3 Julai (IKIM) – Tokoh terkemuka industri takaful, Dato Mohd Fadzli Yusof dinobatkan sebagai Penerima Tokoh Utama Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1447H/2025 Peringkat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini. 

Beliau yang juga antara pengasas Takaful Malaysia berkata penganugerahan ini diterima dengan penuh rasa hormat dan merupakan satu cabaran dan rangsangan untuk berusaha meningkatkan lagi kehebatan Islam terutama dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam. 

“Sempena dengan hijrah ini bererti satu pengorbanan dan satu perubahan. Kita kena ubah diri sendiri dan seterusnya ubah masyarakat dengan apa cara yang kita rasa selaras dengan kehendak Islam,” kata beliau.

Anugerah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar. 

Sementara itu, Mohd Na’im dalam ucapannya berkata usaha membangun ummah MADANI bukanlah satu tanggungjawab yang terpikul di bahu kerajaan semata-mata dan ia menuntut komitmen bersama, antara pihak pemerintah dan rakyat, untuk membina sebuah masyarakat yang adil, sejahtera dan dirahmati Allah. 

“Hijrah tahun ini membawa misi besar. Ia amat bertepatan dengan aspirasi negara dan tuntutan semasa umat Islam hari ini. Namun pembinaan masyarakat MADANI tidak mungkin berlaku tanpa pengorbanan; pengorbanan nafsu, kepentingan diri dan budaya lama yang merugikan,” ujar beliau. 

Tokoh lain yang turut menerima pengiktirafan dalam pelbagai kategori antaranya Datuk Dr. Harlina Haliza Siraj (lmuwan); Mohd Farhan Abdullah (Aktivis Asnaf); Hajah Muzayyanah Abdullah (Pendakwah Kreatif); dan Rosman Ariffin (Usahawan Asnaf). 

Tokoh Utama menerima wang tunai RM8,000, kepingan emas sumbangan YaPEIM, plak, sijil dan pelbagai hadiah iringan. Penerima Anugerah Khas pula menerima wang tunai RM5,000 serta hadiah daripada Galeri Ilmu, Duopharma, Fonterra dan MAIWP.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Haji Hanifuddin Roslan; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Lebih 1,200 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin agensi kerajaan, swasta, pelajar tahfiz dan masyarakat awam hadir memeriahkan sambutan.

WhatsApp
Scroll to Top