PM ANWAR TEGASKAN PEMBAHARUAN POSITIF JAMINAN MASA DEPAN NEGARA

KUALA LUMPUR, 26 Jun (IKIM) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hanya pembaharuan yang positif dan berlandaskan nilai-nilai murni mampu menjamin masa depan negara yang stabil dari segi sosial, ekonomi dan tadbir urus.

Berucap pada Simposium ASEAN 2025 di ibu negara hari ini, Anwar berkata para pemimpin dan institusi perlu beriltizam ke arah perubahan bermakna untuk membendung kemerosotan nilai dalam masyarakat serta menyemai budaya berteraskan keadilan dan integriti.

“Kita berpegang kepada idealisme, justeru itu nilai dan etika kita adalah kukuh. Namun selepas generasi pertama, kedua dan ketiga, kita dapati nilai dan prinsip etika ini telah merosot… kita telah kehilangan idealisme itu,” katanya.

Simposium bertemakan Anchoring ASEAN’s Future in Shared Wisdom: Empowering Communities for an Inclusive and Sustainable Civilisation itu dianjurkan bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), dengan penyertaan pemimpin masyarakat sivil, pembuat dasar, ahli akademik dan wakil belia dari seluruh ASEAN.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Timbalan Pengerusi IKIM Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Othman serta Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Anwar turut menekankan bahawa pembaharuan perlu bermula dengan kejelasan moral dan kemahuan politik, terutama dalam menangani gejala rasuah dan memperkukuh institusi.

Beliau menegaskan, sebagai negara berbilang kaum dan agama dengan Islam sebagai agama Persekutuan, Malaysia memerlukan sikap saling menghormati dan kefahaman bersama dalam mengekalkan keharmonian sosial.

Dalam aspek ekonomi, Anwar menegaskan pemerkasaan ekonomi kekal sebagai asas pembangunan negara. Justeru, segala usaha termasuk menarik pelaburan langsung domestik dan asing harus diteruskan.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa pertumbuhan ekonomi dan pelaburan semata-mata tidak mencerminkan gambaran keseluruhan jika tidak disertai dengan reformasi yang menyeluruh dan beretika.

Jurugambar: Fathulmungin Mohd Yusof

WhatsApp
Scroll to Top