BELASUNGKAWA PENGERUSI IKIM, MUHAMMAD NUR MANUTY

KUALA LUMPUR, 26 Jun (IKIM) – Pemergian Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty hari ini, satu kehilangan besar buat umat Islam dan negara. 

Beliau yang juga mesra dengan panggilan Ustaz Muhammad Nur disahkan meninggal dunia pada usia 76 tahun di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, jam 11.27 pagi. 

Allahyarham dikenang sebagai seorang tokoh keilmuan Islam dalam bidang dakwah dan pemikiran Islam. 

Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023 hingga kini.

Sebagai seorang tokoh ilmuan yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pemikiran, falsafah, perbandingan agama dan pengurusan, Allahyarham telah membawa serta melonjak kecemerlangan IKIM sebagai sebuah institusi pemikir dan penyelidikan yang disegani di Malaysia dan dunia antarabangsa.

Muhammad Nur, memulakan pendidikan di Kolej Islam Malaya di Klang, Selangor sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dari tahun 1970 hingga 1974.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di University of Temple, Amerika Syarikat dari 1978 hingga 1987 dalam bidang pemikiran Islam dan perbandingan agama.

Muhammad Nur juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam di UKM, selain bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Profesor Madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dari 1983 hingga 1999.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Dekan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Dekan di Pusat Pengajian Lanjutan dan Khidmat Masyarakat, UIAM selama lima tahun dari 1990.

Muhammad Nur juga adalah mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), bekas Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), mantan Ahli Lembaga Pengarah IKIM dan Ahli Majlis Syura Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau pernah dipilih sebaagi Ahli Kehormat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) yang mana beliau juga adalah tokoh kedua diiktiraf sebagai Ahli Kehormat IUMS selepas Sheikh Raed Salah Abu Shakra dari Palestin.

Ketokohan dan keilmuan beliau juga diiktiraf serta dianugerahkan penghormatan tertinggi oleh Persatuan Mualaf Singapura (MCAS). 

WhatsApp
Scroll to Top