KUALA LUMPUR, 24 Jun (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024, Anugerah Khidmat Setia 15 Tahun dan Anugerah Setia Cemerlang 25 Tahun bagi menghargai sumbangan cemerlang warga kerjanya dalam membina kecemerlangan organisasi.
Majlis yang berlangsung di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putra itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua penerima anugerah.

Seramai 11 orang warga kerja IKIM diraikan atas prestasi cemerlang sepanjang tahun 2024 manakala empat pegawai menerima Anugerah Khidmat Setia 15 Tahun dan seorang pegawai menerima Anugerah Setia Cemerlang 25 Tahun bagi tahun 2025.
Dalam ucapannya, Mohd Yusof menegaskan bahawa majlis seumpama ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada prestasi luar biasa malah sebagai motivasi kepada seluruh warga IKIM untuk terus menyumbang dengan penuh dedikasi.

“Pengiktirafan ini adalah suntikan semangat dan pencetus inspirasi kepada rakan sekerja lain. Seluruh warga kerja IKIM adalah tulang belakang organisasi dan perlu terus berusaha mempertingkat mutu perkhidmatan melalui penambahbaikan sistem kerja dan amalan nilai-nilai bersama IKIM seperti Ilmu, Hikmah, Adab, Amanah, Adil, Taqwa dan Benar,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa warga kerja perlu bersikap progresif, tidak leka dengan pencapaian semasa serta sentiasa menyahut cabaran baharu dalam era digital yang pantas berubah.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil:; Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail serta ahli Lembaga Pengarah dan seluruh warga IKIM.
Mohd Yusof turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah atas kesetiaan dan komitmen tinggi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, sambil menyeru agar semangat setia cemerlang ini terus dipupuk dalam setiap lapisan warga kerja IKIM.