JPJ SELANGOR GIAT BENTERAS AKTIVITI ‘ULAT’ DI KLIA

Sepang, 18 Jun (IKIM) – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Selangor mengambil tindakan serius dalam membanteras kegiatan ulat teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 menerusi Operasi Ulat atau Ops Ulat.

Menurut JPJ Selangor, aktiviti ini melibatkan individu yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tanpa lesen kepada orang awam yang tiba di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA, dengan mengenakan caj yang jauh lebih tinggi iaitu antara RM80 hingga RM150 berbanding kadar biasa sekitar RM65 hingga RM80 bagi teksi berlesen atau perkhidmatan Limo.

Bagi membanteras kegiatan ini, seramai 14 pegawai termasuk anggota penyamaran telah ditempatkan di kedua-dua terminal KLIA sejak awal tahun dan sebanyak 80 tangkapan telah berjaya dibuat, melibatkan 69 kenderaan persendirian dan 10 kenderaan awam, manakala satu tangkapan dilakukan tanpa kenderaan.

JPJ Selangor turut melaporkan bahawa beberapa kenderaan yang digunakan telah dilucuthak kepada kerajaan di bawah Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, malah individu yang didapati bersalah turut dijatuhi hukuman denda sebanyak RM5,000 di bawah Seksyen 205 akta sama.

JPJ mengingatkan orang awam bahawa sesiapa yang terlibat dengan aktiviti ulat boleh didakwa dan dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya dan mereka yang bersubahat juga boleh dikenakan tindakan.

JPJ menegaskan, kegiatan ulat bukan sahaja menjejaskan imej negara, malah memberi kesan buruk terhadap sektor pelancongan dan pengangkutan awam negara.

WhatsApp
Scroll to Top