HAWANA: PERUNTUKAN RM30 JUTA UNTUK TRANSFORMASI DIGITAL ORGANISASI MEDIA – PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyediaan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk organisasi media di negara ini melaksanakan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan.

Perdana Menteri berkata peruntukan itu sejajar dengan usaha memperkasa ekosistem dan kelangsungan media negara.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional, di PWTC Kuala Lumpur. 14 Jun 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri

“Sepanjang ingatan saya sejak zaman merdeka, inilah peruntukan terbesar yang kerajaan beri kepada wartawan.

“Dengan bantuan dana kerajaan, dengan latihan, pendedahan kepada wartawan terutama yang muda, kita pastikan dunia wartawan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar perubahan kecerdasan buatan (AI) di saming menjamin keseimbangan AI dan etika,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional, di PWTC Kuala Lumpur. 14 Jun 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi syarikat-syarikat media di negara ini termasuk Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata dana itu antara yang terbesar dalam sejarah kewartawanan negara dan akan digunakan untuk memperkasakan transformasi digital dalam kalangan organisasi media tempatan.

“Ini adalah satu dana mungkin antara yang agak besar dalam sejarah dana untuk para wartawan iaitu sebanyak RM30 juta.

“Harapannya dana ini dapat membantu organisasi media mengemudi perubahan yang sedang berlaku terutama dengan kehadiran media sosial dan generasi pembaca serta penonton baharu iaitu Gen Z,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri.

Sumber: BERNAMA

WhatsApp
Scroll to Top