PUTRAJAYA, 11 Jun (IKIM) – Program Korban Al-Falah anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memberi manfaat kepada lebih 60,000 penerima termasuk golongan asnaf, guru agama dan kumpulan B40 dengan perlaksanaan ibadah korban melibatkan 145 ekor lembu di 126 lokasi seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar berkata sebanyak lebih 12,000 kilogram daging korban telah diagihkan kepada penerima manfaat di seluruh negara, sebagai sebahagian usaha memperkasa kebajikan ummah melalui pendekatan inklusif dan jaringan kerjasama yang strategik.
“Saya merakamkan penghargaan kepada YAPEIM dan semua rakan strategik atas kejayaan penganjuran program tersebut yang berlangsung dari 7 hingga 10 Jun 2025,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

“Kejayaan ini mencerminkan nilai-nilai ihsan, kebersamaan dan kasih sayang yang menjadi teras gagasan Malaysia MADANI,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai agar terus menyumbang dan menyokong inisiatif seumpama ini demi membantu golongan yang memerlukan.
“Setiap ringgit dan setiap pengorbanan anda adalah cahaya harapan buat mereka yang memerlukan,” katanya.
Program Korban Al-Falah merupakan inisiatif tahunan YAPEIM dalam menyemarakkan semangat ibadah korban sambil memperluaskan jangkauan bantuan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.