LAKSANA KAFARAH, WAJIBKAN PEMANDU CUAI SEBAB KEMATIAN BERPUASA DUA BULAN BERTURUT-TURUT – MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR — Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil mencadangkan pelaksanaan kafarah (kaffarah) iaitu wajib berpuasa dua bulan berturut-turut ke atas pemandu yang cuai menyebabkan kematian.

Ahmad Fauwaz menjelaskan pelaksanaan kafarah adalah sesuatu yang boleh dilakukan dengan cepat, berbanding menjalankan pelaksanaan hukuman diyat kerana ia tidak melibatkan sebarang akta perundangan atau pindaan, sebaliknya hanya perlu difatwakan.

“InsyaAllah kita cuba berinteraksi dengan kaedah fatwa untuk mewajibkan secara syarii kepada seluruh pemandu yang cuai mereka ini kena berpuasa selama dua bulan berturut-turut sebab hamba sahaya (hamba untuk dimerdekakan) dah tak ada (zaman sekarang).

“Jadi kita cuba mengetengahkan konsep kafarah ini supaya mereka rasa takut kerana memang mereka akan ditanya oleh Allah SWT kenapa tidak membayar kafarah sebelum mereka membayar diyat sebab dalam nak menyelesaikan masalah isu sebegini mesti ada dua pendekatan iaitu undang-undang bersifat pencegahan dan juga kepada undang-undang ibadat yang mana kita namakan sebagai kafarah — sebagai salah satu langkah taubat,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang cadangan pelaksanaan diyat iaitu pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah, dalam sistem perundangan di negara ini yang kembali dibangkitkan bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Isnin.

Pada 2022, Dr Zulkifli pernah dilapor berkata Islam sudah menyediakan penyelesaian mengenai perkara itu dan kerajaan hanya perlu membuat sedikit pindaan terhadap undang-undang berkaitan, termasuk Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Zulkifli berkata sejak 2019 iaitu ketika masih menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, beliau konsisten menuntut kerajaan untuk mempertimbang pelaksanaan diyat.

Cadangan pelaksanaan diyat itu dilihat kembali dibangkitkan beliau semalam selepas 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilapor maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), dekat Gerik, Perak. Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

Mengulas lanjut berkenaan cadangan pelaksanaan diyat, Ahmad Fauwaz menyifatkannya sebagai satu cadangan yang baik jika ia bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya, namun dalam isu itu juga adalah suka bagi beliau utarakan supaya pelaksanaan kafarah didahulukan.

“Saya berpandangan dalam isu diyat ini satu cadangan yang baik tetapi dia mesti melihat kepada kerangka undang-undang dari sudut bagaimana untuk kita pinda, dari sudut kemudahan yang sedia ada dan sekiranya adalah untuk kita nak mengurangkan kemalangan jalan raya itu satu cadangan yang baik. 

“Tetapi sebelum cadangan itu perlu dibahaskan secara mendalam, saya nak utarakan satu benda yang boleh dilakukan dengan cepat dengan kerangka fatwa iaitu kita nak wajibkan kafarah kepada mereka yang cuai di dalam memandu yang menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir ketika mengulas isu sama turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan diyat tersebut dan dalam masa sama menekankan kepentingan penguatkuasaan undang-undang berkenaan perkara itu.

“Secara umumnya saya bersetuju dan yang lebih penting adalah penguatkuasaan undang-undang,” katanya secara ringkas.

Sumber: The Merdeka Times

WhatsApp
Scroll to Top