KHUTBAH ARAFAH: HAJI MEDAN PENYATUAN UMMAH, PERBAHARUI JANJI TAUHID

ARAFAH, 5 Jun (IKIM) – Dalam suasana penuh keinsafan dan kesyahduan di Padang Arafah hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, menyeru umat Islam agar menjadikan ibadah haji sebagai satu wadah memperteguh tauhid dan menyemai kembali nilai kesatuan ummah.

Dalam khutbah Arafah yang disampaikan beliau kepada jemaah haji Malaysia, beliau mengajak umat Islam menyelami makna dan pengajaran mendalam di sebalik ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima.

“Kita berhimpun di Tanah Suci ini sebagai satu simbol pengabdian, pengorbanan dan ketaatan kepada Allah SWT,” ujar beliau, membuka khutbah dengan mengimbau sejarah sejak zaman Nabi Ibrahim AS.

Mohd Na’im menekankan bahawa ibadah haji bukan sekadar ritual fizikal, tetapi medan memperbaharui janji tauhid dan menghidupkan kembali roh keimanan dalam jiwa umat Islam.

“Lihatlah, ketika bertawaf mengelilingi Kaabah, ketika lidah menyebut tasbih tanpa jemu, dan waktu mencium Hajarul Aswad dengan linangan air mata, semua itu bukan sekadar gerakan fizikal, tetapi manifestasi cinta dan pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya Yang Maha Agung. Itulah bukti bahawa hati ini masih hidup dengan tauhid,” ujar beliau. 

Khutbah turut menyentuh aspek perpaduan ummah, dengan menyorot bagaimana ibadah haji menghapuskan batas perkauman dan darjat, mengangkat prinsip kesamarataan dan keadilan dalam Islam.

“Tiada pangkat, tiada kasta, tiada kemegahan dunia. Yang tinggal hanyalah dua helai kain putih, dan hati yang tunduk kepada Ilahi. Di sinilah Islam memansuhkan diskriminasi dan menegakkan keadilan sejati bahawa nilai seorang insan bukan pada rupa atau harta, tetapi pada takwa dan amal soleh,” jelas beliau sambil menyeru agar semangat ukhuwah dan hormat sesama manusia terus disemai dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau ketika menyampaikan khutbah turut melahirkan kebimbangan terhadap perpecahan umat Islam akibat fahaman sempit dan hilangnya roh kasih sayang, menyeru agar ibadah haji menjadi titik mula membina semula kekuatan umat melalui kesatuan dan persaudaraan.

Mohd Na’im juga menegaskan bahawa haji merupakan ibadah yang penuh dengan kemudahan, bukan kesulitan, mencerminkan kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya.

Khutbah turut memetik karya Syeikh Abdul Wahab Abu Sulayman dalam “Maqasid Haji: Hikmah Di Sebalik Pensyariatannya” menjelaskan bahawa antara hikmah utama ibadah haji dari sudut akidah ialah untuk memperteguh keimanan, menyuburkan zikir dan menyatukan hati manusia kepada keesaan Allah SWT.

Mengakhiri khutbah, beliau menitipkan empat pesanan utama kepada para jemaah haji antaranya utamakan keselamatan diri, harta dan keluarga; tunaikan hak sesama manusia dengan toleransi dan sikap bantu-membantu; memelihara kebersihan dan jauhi pembaziran; dan memperbanyakkan istighfar dan jadikan haji sebagai titik perubahan hidup.

Mohd Na’im berangkat ke Arab Saudi, Jumaat lepas bagi menyantuni para jemaah haji Malaysia musim 1446H/2025M seterusnya mengerjakan ibadah haji. 

Turut berangkat ke Tanah Suci, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain. 

WhatsApp
Scroll to Top