BELAJAR BAHASA ARAB DI TANAH SUCI : PELUANG ISTIMEWA DI UNIVERSITI UMM AL-QURA, MAKKAH

Mekah, tanah suci yang menjadi kiblat umat Islam, bukan hanya tempat beribadah – tetapi kini dibuka juga sebagai destinasi ilmu melalui satu program istimewa: Kursus Bahasa Arab di Universiti Umm Al-Qura, Makkah. Program ini adalah hasil kerjasama antara IKIMfm dan DC Universal Travel, dengan sokongan rasmi daripada Universiti Umm Al-Qura, sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang berprestij di Arab Saudi.

Menurut Ustaz Haji Aidil Fazdli bin Mesran, wakil DC Universal Travel, program ini bukan projek perintis semata-mata. Ia telah berjaya dilaksanakan sebelum ini apabila hampir 50 pelajar dari sekolah berasrama penuh menyertainya tahun lalu, mengikuti pembelajaran intensif selama dua minggu secara langsung di dalam kampus Universiti Umm Al-Qura.

“Bukan belajar di banggunan kedai atau lot sewa. Kita belajar terus dalam kampus universiti, bersama pensyarah berbangsa Arab yang berpengalaman dan telah biasa mengajar bahasa Arab kepada pelajar bukan Arab,” jelas beliau.

Apa yang Ditawarkan?

Peserta akan menyertai kelas Bahasa Arab intensif pada waktu pagi di dalam kampus Universiti Umm Al-Qura. Manakala pada waktu petang, mereka akan mengikuti kelas Al-Quran rasmi di Masjidil Haram. Setiap peserta akan menerima kad pelajar rasmi, yang turut memudahkan akses ke lokasi pembelajaran dan kemudahan-kemudahan tertentu di Tanah Suci.

Yang menariknya, program ini memberikan sijil rasmi daripada Universiti Umm Al-Qura, satu pengiktirafan yang sangat berharga dan membuka peluang ke arah pengajian lanjutan.

Program ini terbuka kepada semua – pelajar sekolah, mahasiswa, warga kerja, malah pesara – asalkan ada niat dan kesungguhan untuk belajar. Tiada syarat ketat atau kelulusan tinggi diperlukan; yang penting, hati yang ikhlas dan kesediaan untuk komited.

“Syarat utama: hati yang ikhlas. Tak perlu STAM pun tak apa. Asalkan ada kesungguhan, kita bantu,” kata Ustaz Aidil Fazdli

Pengisian Ilmu dan Ibadah yang Seimbang

Lokasi universiti hanya sekitar 5 kilometer dari Masjidil Haram. Peserta bukan sahaja mendapat ilmu, malah dapat memperbanyakkan ibadah harian – termasuk tawaf, solat berjemaah dan bacaan al-Quran – dalam suasana suci dan tenang.

Program ini juga memberi peluang kepada institusi seperti sekolah, universiti dan agensi kerajaan untuk menghantar peserta secara berkumpulan dengan tarikh yang fleksibel. Pengasingan pelajar lelaki dan perempuan diberi perhatian ketat, termasuk bangunan khas bagi peserta wanita di dalam kampus.

Sambutan Hangat & Peluang Masa Depan

Sambutan terhadap program ini sangat menggalakkan. Malah, ramai peserta yang hanya mengikuti program selama dua minggu sudah mampu berkomunikasi asas dalam Bahasa Arab dengan penuh keyakinan.

“Pelajar Malaysia cepat “tangkap” bila diberi peluang praktikal. Pensyarah Arab di sana pun sangat mesra dan tak pernah memperlekehkan kesilapan. Mereka bantu sampai pelajar faham dan yakin,” ujar Ustaz Aidil Fazdli.

Program ini juga menjawab keperluan semasa – termasuk dari sektor kerajaan dan swasta yang semakin memerlukan tenaga kerja yang mampu bertutur dalam Bahasa Arab, selari dengan peningkatan pelancong dan pelabur dari negara-negara Arab.

Maklumat & Pendaftaran

Yuran penyertaan adalah RM11,000 untuk bilik berempat, termasuk program pembelajaran dan penginapan selama dua minggu. Program ini bakal berlangsung sepanjang tahun dengan tarikh yang fleksibel untuk institusi, manakala sesi umum dibuka kepada orang ramai menjelang Disember ini.

Bagi yang berminat, boleh menghubungi:
📞 017-983 8382
📱 IG & TikTok: @Dcuniversaltravel

Program ini bukan sekadar umrah atau melancong – ia adalah pengisian ilmu yang mendalam, dalam suasana paling berkat di muka bumi. Ayuh, rebut peluang ini untuk mempelajari Bahasa Arab, bahasa al-Quran, terus dari sumbernya, di Tanah Suci yang penuh hikmah.

Gambar : FB Ummul Qura

WhatsApp
Scroll to Top