IKIMfm DAN tvIKIM TAMPILKAN RANCANGAN ISTIMEWA SEMPENA AIDILADHA 1446H/2025M

KUALA LUMPUR, 4 Jun (IKIM) – Menjelang sambutan Aidiladha 1446H/2025M, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerusi platform medianya, IKIMfm dan tvIKIM membawakan pelbagai rancangan khas bertemakan “Inspirasi Kembara Suci”, yang memberi tumpuan kepada penghayatan ibadah haji dan falsafah pengorbanan dalam Islam.

IKIM dalam satu kenyataan hari ini berkata sepanjang 1 hingga 10 Zulhijjah, para pendengar IKIMfm bakal disajikan dengan program “Debaran Mabrur” yang menampilkan Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria. Bersiaran setiap hari jam 4.50 petang, program ini mengetengahkan kisah-kisah menyentuh hati para jemaah haji yang berjuang demi memperoleh haji yang mabrur.

Turut disiarkan “Kapsul Haji”, disampaikan oleh Ustaz Tariq bin Mohd Akbar, yang berkongsi info, hikmah, dan amalan sepanjang bulan Zulhijjah. 

Pendengar juga bakal menikmati drama khas Aidiladha bertajuk “Mengimpi Sekilas Harapan”, mengisahkan pengorbanan seorang Ketua Kampung dalam menyantuni masyarakatnya. Drama ini bakal bersiaran pada 7 hingga 9 Jun jam 4:10 petang, dengan siaran ulangan pada jam 8:45 malam hari yang sama. 

Bagi meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa dalam kalangan umat Islam di Malaysia, IKIMfm turut menerbitkan Kapsul Aidiladha dalam pelbagai bahasa termasuk Arab, Mandarin, Tamil serta bahasa-bahasa suku kaum dari Sabah dan Sarawak, sebagai usaha memperluas kefahaman tentang makna dan nilai pengorbanan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk para mualaf.

Satu lagi pengisian menarik ialah “Intipati Khutbah Aidiladha” berdasarkan teks rasmi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), yang akan disiarkan pada 7 Jun jam 8.30 pagi. Manakala Light of Life Capsule – “Eid Adha 2025 Special” bersama Shaykh Hamzah Wald Maqbul mengupas hadis-hadis pilihan daripada karya Sacrifice: The Legacy of Our Beloved Prophet Muhammad SAW karya Shaykh Tameem Ahmadi, akan disiarkan setiap hari pada jam 6:55 pagi (ulangan jam 8:55 malam).

Bagi platform tvIKIM (www.tvikim.my), penonton bakal disajikan dengan Siaran Takbir Aidiladha pada 6 Jun jam 8 malam, serta 7–10 Jun jam 8 pagi dan 5 petang. Selain itu, dokumentari istimewa bertajuk “Tun Abdullah: Pemikiran, Integriti dan Insan” pula akan ditayangkan pada 7 Jun jam 10:30 pagi.

Rancangan As-Su’al turut membawakan perbincangan menarik dalam dua episod khas: Episod 4 bertajuk “Daging dan Darah Tidak Sampai kepada Allah, Tetapi Apa yang Sampai?” (7 Jun, jam 3:00 petang) bersama Ustaz Muhammad Naim Sadoon, dan Episod 5 bertajuk “Di Tengah Krisis, Aidiladha & Semangat Ibrahim” (8 Jun, jam 3:00 petang) bersama Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Bersempena Aidiladha ini juga, IKIM melalui Bahagian Ekonomi dan Pemasaran akan bekerjasama dengan Ez Qurban dalam menganjurkan program ibadah korban pada 7 Jun di Masjid Al-Azim, Melaka, yang turut dibawakan liputannya oleh tvIKIM.

Keseluruhan program khas sempena Aidiladha 1446H ini boleh diikuti melalui radio IKIMfm, saluran tvIKIM, serta media sosial rasmi IKIMfm seperti Facebook (@ikimfm), Instagram (@ikim.my), TikTok (@radioikim) dan laman web rasmi di www.ikim.my.

WhatsApp
Scroll to Top