KUALA LUMPUR, 25 Mei (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah melancarkan enam buah buku baharu sempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, di sini hari ini.
Pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Mohd Yusof Othman itu antaranya membawakan tiga buah siri Infografik Hifz al-Mal dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan terdiri daripada tajuk Faraid, Pengurusan Harta Keluarga Islam dan Pentadbiran Harta Pusaka Kecil.

Karya lain yang turut dilancarkan termasuk buku Pertanian : Perspektif Islam; Siri Soal Jawab Kefahaman Islam : Akidah dan Pemikiran; dan Islam : Kepimpinan dan Strategi.
Sementara itu, IKIM juga akan melancarkan 2 buah buku baharu dalam ‘Siri Pemerihalan Dasar Kerajaan’ (SPeeDK) IKIM iaitu Sinergi Ilmuwan-Pemerintah dalam Merealisasikan Malaysia MADANI dan Piagam Madinah : Model Perpaduan Malaysia MADANI.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata dua buah buku ini akan disempurnakan pelancarannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar pada 27 Mei nanti sempena Pelancaran Pavilion Al-Falah Agensi-agensi Agama.

“Dua buah buku ini merupakan tajuk-tajuk awal yang membentuk usaha terkini IKIM untuk menerangkan dasar kerajaan dari perspektif Islam,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Mohamed Azam berkata IKIM sebagai sebuah institusi yang memikul amanah untuk menyebarkan kefahaman Islam kepada masyarakat Islam dan bukan Islam sentiasa komited untuk menerbitkan bahan-bahan bacaan bermutu demi memartabatkan budaya ilmu melalui penulisan dan penerbitan agar terus subur dalam kehidupan masyarakat.
Sempena PBAKL 2025 ini juga, IKIM turut menyajikan 7 acara pentas iaitu ‘Refleksi Buku’ yang menampilkan diskusi buku-buku baharu terbitan IKIM oleh penulis buku itu sendiri serta penganjuran slot pentas Bicara Wakaf “Cari Buku Jumpa Pahala” di pentas utama PBAKL 2025.
Sepanjang penganjuran PBAKL 2025 ini, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai bahan bacaan terbitan IKIM dengan potongan harga sebanyak 20 peratus hingga 40 peratus bagi semua buku termasuk buku-buku baharu terbitan IKIM di Pavilion al-Falah bersebelahan pentas utama.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail.
Wartawan : Faiz Hj. Othman
Jurugambar : Fatkhulmungin Mohd Yusof