LANGKAWI, 16 Mei (IKIM) – Komuniti di Pulau Tuba, Langkawi peroleh pelbagai bentuk bantuan dalam program Santuni Madani Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar.
Bantuan yang pelbagai itu merupakan inisiatif pihak kerajaan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan bantuan yang diperlukan.
“Ia seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang sentiasa berusaha mengangkat martabat insan dan kesejahteraan ummah. Program ini diharapkan dapat membantu keluarga dan individu yang berpendapatan rendah atau yang terkesan akibat pandemik, bencana alam, atau krisis ekonomi dengan mengurangkan beban kewangan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Santuni Komuniti Madani YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Bersama Asnaf Penduduk Pulau Tuba di sini, hari ini.
“Saya amat berharap agar program ini dapat memberi impak yang positif dan membantu meningkatkan taraf hidup penduduk. Saya percaya bahawa setiap bantuan yang diberikan, walau sekecil mana pun, tetap akan memberikan makna dan perubahan yang besar dalam hidup tuan puan,” tambah beliau.

Antara bantuan yang disampaikan menerusi Sumbangan Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) – Yayasan Wakaf Malaysia berupa sumbangan bakul makanan kepada 300 orang asnaf berjumlah RM45,000 serta sumbangan musa’adah kepada pelajar cemerlang SPM berjumlah RM500.
Selain itu, Mohd Na’im turut menyampaikan sumbangan bagi menaik taraf tiga buah masjid berjumlah RM30,000 serta menaik taraf lima buah surau berjumlah RM25,000 sumbangan Yayasan Wakaf Malaysia.

Beliau sebelum itu turut menyantuni komuniti nelayan di Pulau Tuba dengan menyampaikan sumbangan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
(YAPEIM) berjumlah RM25,000.00 serta sumbangan Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM kepada Persatuan Nelayan Langkawi berjumlah RM5,000.00.
Beliau dalam lawatan kerja dua hari ke Langkawi turut berkesempatan bersama anak-anak tahfiz di Maahad Tahfiz Darul Ulum Pulau Tuba serta menyampaikan sumbangan Tabung Musa’adah berjumlah RMRM5,000 kepada pihak tahfiz serta sumbangan kepada 2 Guru dan 15 Pelajar Maahad Tahfiz Darul Ulum berjumlah RM2,850.00.
Gambar : FB Dato’ Setia Dr. Mohd Naim & Mohd Hashman Firdaus