KUALA LUMPUR, 16 Mei (IKIM) – Institusi perguruan kembali menjadi tumpuan dalam khutbah Jumaat hari ini sempena sambutan Hari Guru, apabila khatib menegaskan bahawa guru merupakan penyambung risalah Rasulullah SAW dalam mendidik dan membentuk peribadi insan yang mulia.
Khutbah negeri Perak yang disampaikan oleh 115 warga pendidik di negeri itu menekankan peranan besar guru dalam menyampaikan ilmu, membimbing akhlak dan membentuk sahsiah anak-anak didik agar lahir generasi berilmu yang menjunjung syariat Ilahi serta mampu menegakkan keadilan dan kebenaran.
“Guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi insan yang memimpin jiwa ke arah mengenal Tuhan,” menurut teks khutbah tersebut sambil memetik pandangan Imam al-Ghazali mengenai tanggungjawab mendalam seorang pendidik.
Khatib turut merujuk ayat 79 surah Ali-Imran sebagai sandaran peranan guru, menandakan betapa besar amanah yang digalas oleh mereka yang diberi ilmu. Ilmu, menurut khutbah, bukan sekadar alat membentuk masyarakat bertamadun, tetapi wahana untuk melahirkan insan yang takut kepada Allah SWT.
Mimbar turut menyenaraikan empat ciri guru rabbani yang wajar diteladani:
- Ikhlas dalam niat menyampaikan ilmu semata-mata kerana Allah SWT;
- Komited dengan ilmu, terus menambah baik kemahiran dan kaedah pengajaran;
- Menjaga akhlak dan wibawa, termasuk dalam tingkah laku dan penggunaan media sosial;
- Mengamalkan ilmu dan membimbing dengan kasih sayang, serta memiliki sifat-sifat mulia seperti sabar, prihatin dan amanah.
“Ilmu adalah suluhan terang dalam landasan yang kelam,” ujar khatib. “Guru rabbani akan melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang akal dan sahsiah, tetapi mampu membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.”
Khatib turut menyentuh tentang penghargaan yang sepatutnya diberikan kepada para guru yang telah mendidik generasi demi generasi dengan penuh kesabaran dan dedikasi, menyifatkan mereka sebagai ‘obor hemah kehidupan bangsa’.
“Jikalau hari ini seorang menteri berkuasa, seorang ulama mulia, seorang penulis ternama – sejarahnya bermula dengan seorang guru biasa yang sabar mengajar tulis baca,” kata khatib dalam nada puitis yang menyentuh hati para jemaah.
Khutbah ditutup dengan dua seruan penting sempena Hari Guru:
- Memahami martabat guru dalam Islam sebagai murabbi, muallim, mursyid dan muaddib.
- Menghargai dan mendoakan guru sebagai tanda terima kasih atas jasa yang tidak ternilai.
Khatib turut mengucapkan penghargaan, “Terima kasih guru, semoga khidmat baktimu dikurniakan ganjaran di dunia dan akhirat.”
Disediakan oleh : Faiz Hj. Othman