MAPIM SERU TINDAKAN GLOBAL TANGANI KRISIS GAZA DAN ISU KASHMIR

SHAH ALAM, 11 Mei (IKIM) – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini mengeluarkan satu kertas pendirian komprehensif yang menyeru kepada tindakan bersepadu komuniti antarabangsa terhadap dua krisis utama: konflik berpanjangan di Kashmir dan pembantaian berterusan di Gaza.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan bahawa gencatan senjata antara Pakistan dan India pada awal tahun 2025 hanya menghentikan pertempuran bersenjata buat sementara waktu, namun tidak menyelesaikan isu pokok iaitu hak penentuan nasib sendiri rakyat Kashmir. 

Dalam masa yang sama, serangan ketenteraan Israel di Gaza telah meragut lebih 40,000 nyawa rakyat Palestin, termasuk ribuan kanak-kanak.

“Kedua-dua isu ini bukan sekadar konflik wilayah, tetapi lambang kepada penindasan sistemik, penjajahan, dan dasar apartheid,” ujar beliau.

“Kashmir dan Gaza adalah medan perjuangan menentang ketidakadilan yang saling berkait. Dunia tidak boleh memandangnya secara berasingan,” tambahnya lagi.

MAPIM dalam pada itu turut mengecam sikap dwistandard dalam respons antarabangsa, membandingkan sokongan padu terhadap Ukraine dengan keengganan untuk bertindak tegas terhadap India dan Israel, walaupun kedua-dua negara itu didakwa melanggar undang-undang antarabangsa dan melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang serius.

MAPIM menyeru tindakan antarabangsa antaranya pelantikan utusan khas PBB bagi isu Kashmir dan Gaza; persidangan tergempar oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta misi kemanusiaan dan pencarian fakta.

Gesaan turut dibuat bagi penamatan urus niaga senjata dengan Israel dan India oleh negara-negara Global Selatan serta gerakan boikot syarikat yang terlibat dalam penindasan terhadap Palestin dan Kashmir.

MAPIM turut mencadangkan pemfailan kes jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“MAPIM menyeru seluruh kerajaan, institusi dan gerakan massa agar menyokong perjuangan rakyat tertindas demi maruah, keadilan dan hak menentukan nasib sendiri,” kata beliau. 

WhatsApp
Scroll to Top