BACAAN YASIN dan solat hajat TANDA MUNAJAT DAN SOLIDARITI BUAT PALESTIN

PUTRAJAYA, 9 Mei (IKIM) – Satu inisiatif Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk Palestin telah diadakan di Surau Darul Ulum, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya di sini, semalam. 

Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan itu turut disertai oleh pelajar-pelajar SMKA Putrajaya dengan majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti solat hajat dan bacaan yasin. 

Menurut Dr. Zulkifli ketika ditemui pemberita memaklumkan usaha ini sebagai satu tanda keprihatinan dan solidariti kita buat saudara kita di Palestin. 

“Moga doa dari hamba-hambamu yang lemah dan kerdil ini untuk saudara kami di Palestin diterima dan dimakbulkan. Doa dari kami untuk Palestin setulusnya,” ujar beliau. 

Majlis yang telah masuk siri ke-10 ini turut diadakan serentak di surau-surau sekitar Putrajaya dan beberapa lokasi lain termasuk di Sabah dan Sarawak. 

Majlis kali ini dengan kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Malaysia adn Geng Surau Putrajaya. 

Turut hadir dalam majlis ini artis dan aktivis kemanusiaan, Faizal Tahir. 

Gambar : FB Zulkifli Hasan

WhatsApp
Scroll to Top